Rabu, 4 Oktober 2017

Norizan tidak kecil hati



ARKIB : 20/07/2007

KUALA LUMPUR – Norizan Bakar tidak sedikit pun kecewa dengan cara layanan pegawai atasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tergesa-gesa mengarahkannya melepaskan jawatan ketua jurulatih biarpun skuad negara belum turun menentang Iran lagi dalam perlawanan Kumpulan C Piala Asia, kelmarin.

Norizan, 46, turut menyedari dia harus menerima apa sahaja akibatnya apabila memikul tugas itu apatah lagi dengan deretan kekalahan teruk Malaysia kepada China 5-1 dan Uzbekistan 5-0 sepanjang kempen pusingan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil ini.

‘‘Tidak (kecewa). Saya harus terima apa sahaja akibatnya. Itulah yang berlaku dan ia boleh berlaku bila-bila masa walaupun saya tidak menjangkanya. Anda boleh cuba apa sahaja tetapi akhirnya bola sepak ialah berkaitan keputusan,” katanya selepas anak buahnya dikalahkan Iran 2-0, kelmarin.

Bekas jurulatih Perlis, juara Piala Malaysia 2004 ini turut mengibaratkan tugasnya sebagai jurulatih dengan guru iaitu apabila anak murid atau pemain gagal dalam keputusan peperiksaan, orang yang mengajarnya perlu dipertanggungjawabkan dan menanggung risikonya termasuk berhenti.

Anak jati Kampung Kemayan, Perlis ini bagaimanapun belum pasti perancangannya selepas dilucutkan jawatan oleh FAM.

‘‘Anda hendak kata apa pun (takrif arahan FAM sama ada dipecat atau dilucutkan jawatan itu) saya tidak mahu mengulas. Saya pun baru habis dengan Piala Asia, tidak mengapalah, kita tengoklah nanti (perancangan selepas Piala Asia,” katanya.

Kelmarin, Norizan diberitahu bahawa tugasannya sebagai ketua jurulatih negara berakhir sebaik sahaja Malaysia menutup kempen Piala Asia edisi ke-14 ini dengan kekalahan ketiga, 2-0 kepada bekas juara tiga kali dan peserta pusingan akhir Piala Dunia 2006, Iran.

Dia yang sentiasa berhati-hati ketika bercakap demi menjaga perasaan segelintir pihak, bagaimanapun mengakui terdapat ‘masalah tertentu’ yang menjejaskan tugasnya dalam menyediakan skuad negara untuk menghadapi Piala Asia iaitu penampilan sulung Malaysia pada pusingan akhir sejak 1980.

Norizan yang mendapat tepukan pujian daripada wartawan pada sidang akhbar atas kemampuan anak buahnya mengekang Iran sehingga dua gol sahaja, menambah: ‘‘Perlawanan itu menonjolkan keberanian sejati pemain Malaysia. Saya puji mereka kerana masih sanggup untuk masuk bermain dan menyarung jersi negara.

‘‘Malah, sejak berlatih bersama saya, mereka bersungguh-sungguh dalam memberikan segala yang terbaik tanpa mengira apa sahaja isu yang melanda skuad negara. Tiada siapa pun mahu dikecam seperti mereka tetapi mereka tetap bersemangat dan bangkit bersatu (menentang Iran, kelmarin).”

Norizan bagaimanapun masih perlu menyiapkan laporan lengkap berhubung prestasi skuad negara sepanjang Piala Asia secepat mungkin seperti yang diarahkan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah pada sidang akhbar di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang, Isnin lalu.

Penyingkirannya secara mengejut ketika kontraknya cuma akan berakhir September ini turut bererti skuad negara perlu menyegerakan pelantikan barisan jurulatih baru termasuk penolong dan jurulatih penjaga gol bagi menghadapi Pestabola Merdeka ke-39, akhir bulan depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4uXUYOKrb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan