Selasa, 3 Oktober 2017

Skuad Malaysia ‘berkabung’ batalkan sesi latihan



ARKIB : 16/07/2007

PETALING JAYA – Seakan-akan ‘berkabung’ dengan pengunduran Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad negara semalam pula tidak turun menjalani latihan di Stadium Petaling Jaya seperti yang dijadualkan.

Tanpa sebarang notis awal mahupun kepada penganjur Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) khususnya bahagian media, mereka dengan sewenang-wenangnya membatalkan sesi berkenaan sebaliknya sekadar memilih gimnasium Hotel Prince, Kuala Lumpur - tempat penginapan semua pasukan Kumpulan C pusingan akhir Piala Asia.

Tindakan itu ternyata tidak wajar memandangkan jadual sesi latihan semalam untuk pasukan Malaysia telah ditetapkan dari 5 petang hingga 7 malam oleh AFC yang turut diedarkan kepada semua wakil media tempatan mahupun antarabangsa.

Malah inilah kali kedua skuad negara mengubah tempat latihan secara mengejut setelah tiga hari sebelum menentang China, mereka didapati beralih dari Stadium Nasional, Bukit Jalil ke Stadium Petaling Jaya dan akhirnya terpaksa memilih Wisma FAM, Kelana Jaya.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Stadium Petaling Jaya, semalam mendapati skuad negara tidak kunjung tiba sehingga setengah jam selepas waktu mula latihan itu biarpun kakitangan keselamatan di situ memberitahu, sesi untuk skuad negara berlatih memang telah dijadualkan.

Difahamkan, skuad negara tidak turun berlatih atas arahan ketua jurulatihnya, Norizan Bakar setelah mendapati keadaan cuaca hujan di Petaling Jaya biarpun ia tidak begitu lebat dan tanpa kilat sabung-menyabung yang boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan anak buahnya.

Percubaan untuk mendapatkan ulasan Norizan berhubung keputusan mengejut Tengku Abdullah itu turut menemui kegagalan sebagaimana gagalnya percaturan jurulatih itu dan anak buahnya dalam membolosi gawang Uzbekistan kelmarin sebelum dibelasah 5-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selepas Malaysia dibelasah China 5-1, Selasa lalu, Timbalan Presiden FAM itu melahirkan rasa terkejut dengan kekalahan besar itu dan kecewa atas corak permainan serta taktikal Norizan untuk skuad negara sehingga mudah diperbudakkan lawan.

“Jika boleh, saya mahu menemui semua peminat bola sepak tempatan untuk memohon maaf atas kekalahan itu,” kata Tengku Abdullah yang pernah berkata, mahu menanti sehingga Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), September ini untuk mengumumkan pengundurannya secara rasmi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4uSG3uMSu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan