Selasa, 3 Oktober 2017

Tengku Abdullah sedih, kecewa, mohon maaf

ARKIB : 13/07/2007
KUANTAN - ‘‘Saya tidak terkata menyaksikan prestasi yang dipamerkan pasukan kebangsaan.” Begitulah reaksi pertama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada media, semalam selepas Malaysia diaibkan China 1-5 di Stadium Bukit Jalil pada kejohanan Piala Asia, Selasa lalu.
Beliau berkata, hanya jurulatih dan pemain sahaja yang boleh memberikan penjelasan kepada penyokong terhadap kekalahan tersebut.
‘‘Kalau boleh saya hendak minta maaf kepada penonton dan berjumpa serta bersalam dengan mereka setiap seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kualiti Koperasi Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, kelmarin.
Ketika ditanya mengenai kesilapan jurulatih menyusun strategi dan juga barisan pemain, Tengku Abdullah memberitahu, jawapan itu seharusnya diajukan kepada jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar kerana dia lebih arif terhadap selok-belok permainan.
Jelasnya lagi, pemilihan pemain yang disenaraikan di dalam skuad kebangsaan juga di bawah kuasa jurulatih dan FAM tidak boleh berbuat apa-apa mengenai hal itu.
Menurut beliau, China ternyata lebih bersedia untuk menghadapi perlawanan tersebut dari setiap sudut.
‘‘Mereka memiliki rata-rata pemain yang menerima pendedahan di Eropah dan mereka bukan sahaja tinggi, malah laju dan juga pantas.
‘‘Kita ternyata tidak dapat mengatasi kelebihan yang mereka miliki, China berada di kelas yang jauh berbeza dengan Malaysia,’' ujarnya.
Namun begitu, dalam kekecewaan tumpas kepada China, Tengku Abdullah masih berharap para pemain kebangsaan dapat melakukan sesuatu untuk bangkit apabila menentang Iran kelak.
Beliau berkata, anak-anak buah Norizan perlu segera atasi kelemahan yang ada agar tidak dibelasah sekali lagi dalam perlawanan yang seterusnya.
Mengulas mengenai kedudukan Norizan selepas Piala Asia berakhir, beliau menjelaskan, buat masa ini, terlalu awal untuk diperbincangkan kerana tumpuan perlu diberi kepada Piala Asia terlebih dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan