Selasa, 17 Oktober 2017

Skuad bola ‘beraya’ awal



ARKIB : 07/11/2007

Oleh A. JAILANI ABDULLAH

PETALING JAYA – Jurulatih skuad bola sepak negara B. Sathianathan mempercepatkan sambutan Deepavali keluarganya kepada hari ini, sehari lebih awal daripada tarikh sebenar.

Sathianathan yang mahu menyediakan pasukan Bawah-23 yang mantap dalam kempen Sukan SEA di Thailand bulan depan, terpaksa mengadakan majlis rumah terbuka malam ini.

“Saya terpaksa mempercepatkan majlis rumah terbuka Deepavali saya kerana saya mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada menyiapkan pasukan,” kata Sathianathan kepada pemberita di Wisma FAM semalam, selepas pertemuan dengan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Bukan itu sahaja yang terpaksa dipercepatkan oleh Sathianathan.

Persiapan skuad negara untuk ke Sukan SEA bermula semalam juga terpaksa dipercepatkan ke waktu tengah hari kerana mahu menyesuaikan diri setelah jadual melibatkan Malaysia dan lain lain pasukan dalam Kumpulan A telah diubah, antara pukul 1 tengah hari waktu Thailand (2 petang waktu Malaysia) dan awal petang.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Singapura, Laos dan Vietnam.

Tuan rumah Thailand pula berada dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Myanmar dan Kemboja.

Acara bola sepak akan berlangsung di Korat.

Perubahan jadual itu telah mendapat bantahan daripada skuad negara, dan difahamkan Singapura juga akan berbuat yang sama.

“Saya memang tidak puas hati dengan perubahan jadual perlawanan. Yang anehnya mengapa perubahan ini hanya melibatkan kumpulan kita yang kena bermain pada pukul 1 tengahari.

“Daripada pandangan jurulatih, tiga perlawanan pada waktu tengah hari akan menyebabkan pemain-pemain terlalu keletihan dan sudah tentu mana-mana pasukan dari Kumpulan B tidak akan dapat memberikan saingan kuat apabila beraksi pada separuh akhir.

“Saya sering memantau cuaca di Korat, dan saya dapati suhu tengahari di sana ketika ini adalah kira-kira 28-29 darjah Celsius. Bagi saya ia sangat panas dan akan meletihkan,” katanya.

Apabila diteliti jadual perlawanan, tuan rumah Thailand dilihat mendapat kelebihan kerana mereka akan bermain pada waktu petang dan malam yang lebih sejuk.

Perlawanan pertama Malaysia ialah menentang Vietnam pada 1 Disember pukul 4.30 petang diikuti dengan bertemu Laos (3 Disember, 2 petang) dan Singapura (8 Disember, 3.30 petang).

Thailand pula akan memulakan kempen dengan menentang Myanmar (2 Disember) pada pukul 6.30 petang, Kemboja (4 Disember; 6.30 petang) dan Indonesia (7 Disember, 7.45 malam).

Jadual dua perlawanan terakhir di peringkat Kumpulan A juga agak aneh, menyaksikan empat pasukan itu tidak akan bermain serentak tetapi tidak bagi Kumpulan B.

Ini akan memberikan kelebihan kepada dua pasukan teratas dalam Kumpulan A untuk memilih lawan mereka pada separuh akhir.

Rasa tidak puas hati Sathianathan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap jadual perlawanan yang tidak mengikut piawaian antarabangsa itu akan disuarakan oleh Zainal Abidin pada mesyuarat ketua-ketua kontinjen di Bangkok hujung minggu ini.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4voQZHRMw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan