Selasa, 3 Oktober 2017

Misi ‘hidup dan mati’, Norizan buat rombakan drastik



ARKIB : 14/07/2007

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Empat pemain yang terbabit sewaktu tewas 1-5 kepada China, Selasa lalu, akan diketepikan apabila Malaysia menentang Uzbekistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Rombakan drastik itu dijangka melibatkan Akmal Rizal Rakhli, Norhafiz Zamani Misbah, Fauzie Nan dan Fadzli Saari manakala sebagai gantinya, ketua jurulatih Norizan Bakar akan cuba menurunkan Indra Putra Mahayuddin, K. Nantha Kumar, V. Thirumurugan dan Ivan Yussof.

Gara-gara aksi hambar Akmal Rizal dan kejayaan Indra Putra membolosi China, Indra bakal bergandingan dengan rakan sepasukan di Pahang, Hairuddin Omar di slot serangan.

Inilah kali pertama Indra Putra yang berehat tujuh bulan sebelumnya kerana menjalani pembedahan buku lali, diturunkan dalam kesebelasan utama sejak beraksi hambar ketika menentang Kemboja dalam aksi persahabatan di Shah Alam, 18 Jun lalu.

Rombakan ini juga dijangka melibatkan posisi tetap di mana Nanta Kumar akan bergandingan dengan ketua pasukan, Kaironnisam Sahabuddin Hussain sebagai bek tengah khususnya bagi menangani umpanan bola tinggi pemain Uzbekistan yang bertubuh besar seperti mana China.

Sekalipun melepaskan lima gol, penjaga gol Azizon Kadir masih mendapat kepercayaan untuk mengawal gawang Malaysia sementara bek kanan yang dipegang Fauzie sebelumnya bakal diambil alih oleh Thirumurugan tetapi pemain veteran, Rosdi Talib dikekalkan sebagai bek kiri.

Shahrulnizam Mustapa akan kekal selaku sayap kanan tetapi Hardi Jaafar yang biasa beraksi di sayap kiri, beralih untuk mengemudi bahagian tengah sambil bergandingan dengan Shukor Adan manakala posisi tersebut mendapat penghuni baru, Ivan Yussof.

Norizan bagaimanapun berkata: ‘‘Memang akan ada perubahan dalam kesebelasan utama. Selepas persembahan dengan China dan kami melihat perlawanan Iran dan Uzbekistan, kami membuat analisis dan mengatur pelan baru permainan untuk perlawanan kedua ini.

‘‘Kesebelasan utama Malaysia hanya akan dimuktamadkan beberapa jam sebelum perlawanan esok tetapi jika sesiapa sahaja yang dipilih bermain menentang Uzbekistan, saya fikir dia akan tahu peranan dan tanggungjawabnya.

‘‘Banyak kemungkinan yang kami pertimbangkan, Nantha Kumar hanya salah seorang pemain dalam skuad seramai 23 orang ini tetapi kami hanya akan memasuki perlawanan dengan pendekatan yang positif. Sebagai jurulatih, saya bertanggungjawab kepada pasukan dan pemain.”

Menurut Norizan, skuad negara bagaimanapun tidak akan mengutamakan corak bertahan kerana kecenderungan kepada taktik itu masih mampu meninggalkan ruang untuk dibolosi lawan malah serangan keterlaluan pula akan mendedahkan barisan belakang.

Norizan berkata, skuad negara menyedari pencapaian memberangsangkan tiga lagi tuan rumah, Indonesia, Thailand dan Vietnam tetapi mereka tidak mahu menambah tekanan untuk mengikut jejak itu semata-mata sebaliknya cuma menjanjikan persembahan yang terbaik sekaligus tanpa menghampakan penyokong lagi.

‘‘Saya pasti semua orang berduka dengan persembahan kami lalu. Kami perlu melakukan sesuatu yang lain. Kami telah memikirkannya, sebagai pemain dan manusia biasa, kami pasti tidak mahu diaibkan dari hari ke hari, malah kami tidak mahu penyokong hilang harapan tetapi kami akan bawa pendekatan positif kali ini,” katanya.

Kepada kritikan segelintir pegawai atasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana dibelasah China lalu, kata Norizan, ini lumrah di negara ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uRn7Rg83
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan