Jumaat, 13 Oktober 2017

Malaysia kekang Chelsea - Mesti atasi PSV Eindhoven untuk ke suku akhir

ARKIB : 11/08/2007
Oleh: SAYED HESHAM IDRIS

PEMAIN Malaysia menerima tepukan gemuruh daripada penonton selepas mengikat Chelsea dengan keputusan seri tanpa jaringan di Kuching, semalam. – Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

KUCHING – Skuad Bawah 19 Tahun Malaysia mencipta kecemerlangan tersendiri apabila mengikat kelab Liga Perdana England, Chelsea 0-0 dalam Kumpulan D bola sepak Piala Juara-Juara Belia di sini, semalam.

Keputusan itu disambut baik lebih 10,000 penonton yang memuji semangat juang pemain negara.

Jurulatih Robert Alberts berkata, pujian harus diberikan kepada para pemain yang berupaya menyaingi sebuah pasukan yang melabur berjuta ringgit untuk program pembangunan remajanya.

Katanya, lebih membanggakan kejayaan itu dicapai oleh pemain negara yang hanya menjalani persediaan selama dua minggu.

‘‘Pujian harus diberikan kepada para pemain muda negara dan saya harap keputusan malam ini membuka mata semua pihak kita juga mampu menyaingi pasukan handalan dunia,” katanya.

Kejayaan mengikat Chelsea semalam turut membuka peluang Malaysia mengintai tempat ke suku akhir.

Begitupun, tegas Alberts, Malaysia perlu menewaskan wakil Belanda, PSV Eindhoven dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.

‘‘Saya berharap para penyokong di Kuala Lumpur membanjiri stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan seperti mana penyokong yang ditunjukkan di Stadium Sarawak pada dua perlawanan awal ,” ujarnya.

Kejayaan mengikat Chelsea dihasilkan menerusi penguasaan anak buah Alberts sejak awal permainan lagi.

Persembahan pemain negara lebih baik berbanding ketika tewas 1-2 kepada Bayern Munich kelmarin.

Malaysia yang menurunkan barisan yang sama ketika menentang Bayern menguasai hampir 20 minit pertama babak awal.

Percubaan terbaik skuad negara menjelma pada minit ke-13 menerusi sepakan percuma Badrol Bakhtiar yang menuju ke penjuru gawang tetapi berjaya ditepis penjaga gol Chelsea,Nikolas Heimann.

Empat minit kemudian, pemain sayap kanan, Mohd. Nazrin Nawi Mohd. melepasi pertahanan lawan Ben Gordon sebelum melakukan hantaran lintang.

Namun, ia gagal disambar kemas oleh Badrol yang dikawal ketat pertahanan lawan.

Chelsea cuba mengimbangi permainan menerusi serangan balas yang hampir menemui penyudah pada minit-22 oleh Lee Sawyor.

Rembatan kencang Sawyor dari kawasan penalti terlepas dari dakapan penjaga gol Khairul Fahmie, mujur bola pantas dikeluarkan oleh ketua pasukan Bunyamin Umar.

Gawang tuan rumah sekali lagi hampir bolos pada minit ke-24 apabila Adam Phillip yang melepasi pertahanan pasukan tuan rumah melakukan sepakan deras kaki kanan.

Namun, penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmie lebih bersedia menepis bola.

Pemain tuan rumah yang meneruskan aksi bertenaga selepas rehat tetapi nyaris dikejutkan dengan kealpaan penjaga gol Khairul Fahmie yang gagal menangkap bola hantaran lintang lawan.

Hasil kealpaan itu, Miloslav cuba mengambil kesempatan tetapi pantas diasak oleh Badol Bakhtiar dan Muhammad Ibnu Kassim untuk menyelamatkan keadaan.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-56 menerusi Badrol yang membuat larian solo melepasi pertahanan lawan namun sekadar melepaskan sepakan lemah yang terus ke dakapan penjaga gol, Nicolas.

Jack Cork hampir memastikan kemenangan Chelsea pada minit ke-62 menerusi tandukan kencang yang menuju ke penjuru gawang Malaysia tetapi berjaya ditangkap kemas Khairul Fahmie

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vNx56W00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan