Jumaat, 20 Oktober 2017

Malaysia tidak perlu jurulatih penyerang – Sathianathan



ARKIB : 21/12/2007 
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak negara tidak memerlukan jurulatih khas penyerang ekoran ketumpulan penyudah pada Sukan SEA Korat, baru-baru ini melainkan menagih sebilangan besar penyerang tempatan yang mampu bergelar penjaring terbanyak Liga Malaysia.

Jurulatih negara, B. Sathianathan berkata, melatih penyerang tidak akan sama dengan melatih penjaga gol yang kini memang memiliki seorang jurulatih khas kerana posisi hadapan itu berkait rapat dengan kerjasama rakan sepasukan di posisi lain, malah pergerakannya lebih meluas.

Katanya, penjaga gol sentiasa memerlukan tumpuan latihan khusus seperti mana yang dilakukan oleh penolongnya, P. Mohana Sundram tetapi penyerang akan turut bergantung kepada strategi pasukan dan keadaan semasa lawan dan perlawanan.

‘‘Saya cuma mahu melihat penyerang tempatan lebih banyak menjaringkan gol dalam Liga M, mengatasi penyerang asing. Hanya menerusinya, barulah saya akan dapat banyak pilihan penyerang yang tajam dan berkesan untuk dibawa ke persaingan antarabangsa.

‘‘Selagi tonggak import sahaja yang menyumbat gol, pilihan penyerang yang benar-benar berkualiti untuk skuad negara akan terhad dan saya hanya akan menggunakan sumber yang termampu sahaja,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dua ayam tambatan Malaysia, Safee Sali dan Zaquan Adha Radzak yang menggegarkan Pestabola Merdeka, Ogos lalu mulai berkemarau gol ketika Kelayakan Piala Dunia, dua bulan kemudian malah cuma dua kali mampu membolosi gawang Laos pada Sukan SEA Korat.

Gol skuad bawah 23 tahun negara turut dihasilkan oleh benteng tengah Chun Keng Hong, sayap kanan Amirulhadi Zainal dan pemain tengah, Safiq Rahim, namun tidak memadai untuk melayakkan kita ke separuh akhir temasya dwitahunan ke-24 itu.

Sathianathan bagaimanapun yakin, penyerang tempatan bakal kembali melonjak dalam musim liga 2007- 2008 antaranya seperti yang dibuktikan baru-baru ini oleh Zaquan bersama Negeri Sembilan, Khalid Jamlus (Perak), Rudie Ramli (Perlis) dan Amri Yahyah (Selangor).

‘‘Ada ramai jurulatih liga yang dulunya bekas penyerang negara. Tentu mereka lebih tahu apa yang hendak dibuat dengan penyerang tempatan. Saya tidak boleh arahkan setiap pasukan jangan turunkan penyerang asing kerana semuanya mahu menang dengan barisan pemain terbaik,’’ tegasnya.

Namun, Sathianathan turut mengakui pengambilan jurulatih khas penyerang bukan perkembangan baru kerana sebuah kelab gergasi Jerman, Bayern Munich pernah menggunakan khidmat bekas penjaring utama Jerman, Gerd Muller sebagai jurulatih penyerangnya.

‘‘Ketika itu, Muller yang terkenal dengan gol terbanyak Piala Dunia, gagal dalam tugasnya untuk melahirkan penyerang yang mampu menjaringkan gol dan kelab itu terpaksa mengambil penyerang dari Brazil sebagai pengganti pemain tempatan,” katanya.

Mengenai perancangan skuad negara tahun depan, katanya, kebanyakan pemain Sukan SEA mungkin digelar sebagai ‘Malaysia B’ manakala mereka yang senior, bakal digandingkan dengan kalangan tonggak Liga M bagi menghadapi beberapa tugasan antarabangsa.

‘‘Saya akan buat pemilihan kedua-dua skuad ini mulai Februari depan. Kami ada dua kejohanan tetap antarabangsa yang menanti iaitu Pestabola Merdeka (Ogos) dan Kejohanan AFF (Disember) selain kemungkinan beberapa perlawanan persahabatan ‘A’ antarabangsa,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4w3YjLF73
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan