ARKIB : 27/11/2007
Longlai sebelum ke Korat
Oleh: AMRAN MULUP
DUA penyerang Malaysia, Mohd.
Zaquan Adha dan Mohd. Khyril Muhymeen cuba mengelirukan pertahanan Indonesia
pada perlawanan persahabatan bolasepak antara Malaysia dan Indonesia yang
berkesudahan seri 1-1 di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR Kelemahan
hantaran bola terus meresahkan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, B.
Sathianathan menjelang perlawanan pembukaan Vietnam pada Sukan Sea, Korat,
Disember ini.
Bayangan keresahan Sathianathan
terpancar ketika melihat anak didiknya sekadar mencatat keputusan seri 1-1
dalam perlawanan persahabatan terakhir menentang Indonesia yang turut bersaing
di Korat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), petang semalam.
Malaysia mengejutkan pelawat
dengan gol awal jaringan Mohd. Safee Sali seawal minit ke-11 tetapi corak
permainan longlai pemain kebangsaan membolehkan Indonesia menyamakan kedudukan
1-1 hasil jaringan Ricardo Salampesy sembilan minit babak kedua bermula.
Selepas itu pelawat terus
menguasai pentas saingan dengan barisan pemain kebangsaan terkial-kial
mengekang setiap serangan bertali arus dilakukan oleh Indonesia.
Jika tidak ketumpulan jentera
serangan lawan, pastinya Malaysia pasti teruk di belasah skuad bawah 23
Indonesia yang bersaing di Sukan Sea Korat dalam Kumpulan B.
Sathianathan mengakui betapa
kelemahan hantaran bola yang tidak kemas dan tepat dipaparkan oleh anak
didiknya ketika perlawanan berbaki 45 minit hendak ditamatkan.
Saya tidak puas hati dengan
corak permainan hari ini (semalam). Bahagian tengah langsung tidak berfungsi
selain hantaran kurang kemas dilakukan oleh pemain, ujar Sathianathan dalam
sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.
Biarpun mengakui akan
kepincangan tersebut Sathianathan berkata, masih ada masa dan ruang untuk
memperbaiki kelemahan tersebut menjelang perlawanan pembukaan menentang
pemenang pingat gangsa Sukan Sea 2005 di Manila, Vietnam pada 1 Disember ini.
Tempoh beberapa hari akan
saya gunakan untuk memperbaiki kelemahan ini walaupun saya resah tetapi ia
belum memadamkan harapan saya untuk melihat skuad bola sepak mara ke separuh
akhir, ujarnya lagi.
Selain Vietnam, skuad
kebangsaan akan bersaing bersama Singapura dan Laos dalam Kumpulan A manakala
Indonesia, Thailand, Kemboja dan Myanmar dalam Kumpulan B.
Ujarnya, tempoh beberapa hari
berada di Korat bermula esok akan digunakan untuk memperbaiki kelemahan di
bahagian tengah.
Bagi saya, secara realistik
peluang kita tetap ada untuk ke separuh akhir dan saya yakin dengan kemampuan
pemain apabila berdepan ujian sebenar di Korat nanti, ujarnya.
Berdasarkan kepada empat
perlawanan persahabatan yang diatur Sathianathan tetap berpuas hati dengan
corak persembahan pemain tanpa mahu mengambil kira keputusan yang diperoleh.
Bagi jurulatih itu, bukan
keputusan yang dikejar tetapi sebaliknya persefahaman pemain dan kemantapan
pasukan menjadi agenda utama.
Soal kekurangan sudah menjadi
lazim dalam bola sepak, ada ketika bermain baik ada masa bermain kurang
menyakinkan namun di sebalik itu beliau percaya kesebelasan utama yang akan
membawa cabaran berdepan Vietnam mampu menjanjikan kemenangan atau
setidak-tidaknya dengan keputusan seri.
Tanpa ada pemain utama ditimpa
kecederaan serius Sathianathan agak kesal terpaksa melupakan khidmat Aidil
Zafuan Abd. Razak yang digantung untuk dua perlawanan selepas menerima kad
merah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain, 28 Oktober lalu.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vsSi7lOy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan