Selasa, 3 Oktober 2017

Psikologi skuad negara terjejas



ARKIB : 16/07/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Jurulatih Norizan Bakar mengakui dua kekalahan besar Malaysia kepada Uzbekistan 5-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin selain China 5-1 (Selasa lalu) meninggalkan kesan psikologi yang besar pada dirinya dan seluruh pasukan negara.

Katanya, ia cukup terasa setelah seluruh pasukan mengerah segala persembahan terbaik dan mengatur strategi rapi, tetapi akhirnya terpaksa menyerah kepada lawan yang ternyata mengatasi mereka dari segala segi terutama fizikal, taraf permainan dan kemampuan.

“Kami tidak mahu mengungkit tentang kekalahan ini tetapi selepas dua kekalahan, psikologi pasukan memang terjejas,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Kumpulan C yang menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah pertama gagal ke suku akhir bola sepak Piala Asia ke-14 ini.

Norizan turut akur bahawa anak buahnya ketinggalan jauh dan belum setanding lawan pada pusingan akhir ini apatah lagi hanya layak sebagai tuan rumah bersama Thailand, Indonesia dan Vietnam yang sebaliknya semakin membanggakan dan meyakinkan peminat mereka.

“Kami mengerti kami kini bermain dalam taraf yang berlainan sekali. Kami sudah mencuba segala yang terdaya tetapi ternyata taraf permainan dan fizikal lawan mengatasi semuanya. Kekurangan ini dan kesilapan sendiri juga memburukkan keadaan,” katanya.

Setelah kalah kepada Iran 2-1, Rabu lalu, Uzbekistan sebaliknya menghidupkan semula peluang ke peringkat kalah mati dengan dua gol daripada penyerang Dynamo Kiev, Maksim Shatskikh selain satu masing-masing oleh Timur Kapadze, Ulugbek Bakaev dan Aziz Ibragimov.

Kekalahan besar Malaysia ini turut melebarkan malah menyamai rekod pertemuan dengan pasukan Asia Tengah itu sejak Sukan Asia Hiroshima 1994 yang menyebelahi lawan 5-0 selain 3-0 dalam satu perlawanan persahabatan di Samarkand, lima tahun kemudian.

Kata Norizan, segala percaturan dan percubaannya untuk mengubah dan memperbaiki permainan skuad negara juga menemui kegagalan dan tidak menjadi malah pantas disambar dan dipintas lalu dihukum oleh anak buah Rauf Inileyev itu.

Hanya satu percubaan terbaik daripada Indra Putra Mahayuddin yang berjaya memperdayakan seorang pemain lawan dengan lenggok badannya sekalipun penyudahnya tersasar pada minit ke-59, mampu menghiburkan kira-kira 5,000 penyokong Harimau Malaya.

Kemasukan Akmal Rizal Rakhli, Nor Farhan Muhammad dan Fadzli Saari untuk menggantikan Hairuddin Omar, Ivan Yussof dan Hardi Jaafar juga tidak mampu mengubah sesuatu malah Norizan kerap diboo penonton setiap kali wajahnya terpapar pada layar video gergasi stadium.

Sementara itu, Inileyev masih tidak berpuas hati dengan pesta gol pasukannya yang menjadi catatan terbesar dalam Piala Asia setakat ini malah menganggap masih ada ruang kelemahan jika mahu memburu salah satu tempat ke suku akhir.

“Saya belum puas hati walaupun gembira kami menang dengan keputusan yang amat baik ini. Namun yang penting ialah mengutip tiga mata kerana sukar bermain dalam keadaan cuaca di sini kerana ada pemain yang mudah penat,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4uSImxzCk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan