ARKIB : 07/07/2007
SKUAD bola sepak kebangsaan
yang akan memikul cabaran ke Piala Asia.
KUALA LUMPUR - Bek kiri, Rosdi
Talib tidak sedikit pun terkilan dengan pemilihan Kaironnisam Sahabuddin
Hussain sebagai ketua pasukan Malaysia bagi menghadapi pusingan akhir bola
sepak Piala Asia yang bermula di sini Selasa ini.
Sekalipun sudah berusia 31
tahun dan lebih senior dari segi penampilan antarabangsa, bek veteran Pahang
ini berpendapat bahawa menjayakan misi negara secara sepasukan sepanjang
kejohanan itu lebih penting daripada segalanya.
Biarlah orang yang lebih muda
mengambil alih lilitan lengan itu. Saya tidak kisah atau terkilan. Jika
jurulatih negara (Norizan Bakar) beranggapan Kaironnisam yang terbaik, kami
pemain lain akan memberikan kerjasama.
Yang penting ialah memastikan
kejayaan dan persembahan terbaik untuk pasukan Malaysia, kata pemain kidal ini
kepada Utusan Malaysia.
Kaironnisam mewakili negara
sejak 2001 dan kerap bermain sebagai bek tengah.
Menurut pemain kelahiran Kuala
Terengganu, Terengganu ini, peranan ketua pasukan berpindah tangan daripadanya
sejak perlawanan persahabatan dengan Singapura di republik itu pada 31 Mei
tahun lalu.
Kali terakhir saya menjadi
ketua pasukan negara ketika jurulatihnya, Bertalan Bicskei, kira-kira dua tahun
lalu, ujarnya yang pernah bermain dalam Kelayakan Piala Asia 2000 dan 2004
tetapi Malaysia gagal ke pusingan akhir.
Rosdi merupakan antara tonggak
pemenang tempat ketiga Piala Tiger 2000 dan 2004-2005 malah pernah bermain di
bawah bimbingan empat jurulatih negara iaitu Abdul Rahman Ibrahim, Alan John
Harris, Bicskei dan Norizan sejak 1999.
Namanya tercicir berikutan
kemerosotan prestasi dan dibelenggu kecederaan lantas posisi bek kiri
kegemarannya dalam skuad negara disambar oleh Irwan Fadzli Idrus, Chan Wing
Hoong dan Fauzie Nan sejak Pestabola Merdeka 2006 hingga Kejohanan AFF, Januari
lalu.
Namun, Rosdi yang turut
memiliki kelebihan sepakan percuma yang deras dan melencong masuk, kembali
meraih kepercayaan Norizan dengan dipanggil ke kem latihan negara di Australia,
awal Mei lalu.
Malah, kepulangannya ke arena
antarabangsa pertama sejak 2006 di Stadium Shah Alam, 18 Jun lalu, berjaya
dibalas dengan satu jaringan dari jarak jauh ketika Malaysia membelasah Kemboja
6-0 dalam perlawanan persahabatan.
Selepas turut bermain dengan
Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 21 Jun lalu, Rosdi bagaimanapun bakal bersaing
dengan Fauzie bagi posisi bek kiri kesebelasan utama negara apabila menentang
China dalam aksi sulung Kumpulan C Piala Asia.
Peluang Rosdi tampil di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini akan lebih cerah jika Norizan mengalihkan
Fauzie ke bek kanan dan meletakkan V. Thirumurugan atau Hamzani Omar ke bangku
simpanan terlebih dulu.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uMVFB0NU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan