Sabtu, 14 Oktober 2017

Beri sokongan kepada B23 – Sathianathan



ARKIB : 01/09/2007

Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR – Tanpa mengendahkan cabaran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said, jurulatih bola sepak skuad kebangsaan, B. Sathianathan lebih bersikap tenang dan yakin betapa skuad bimbingannya mampu menjanjikan kejayaan di Sukan Sea di Korat, Disember ini.

Buat Sathianathan cabaran Azalina itu adalah senario lumrah dalam bola sepak negara - apabila kalah skuad kebangsaan teruk dihentam tetapi apabila menang pun masih timbul kesangsian.

Bagi jurulatih itu, kejayaan skuad bawah 23 tahun memenangi Pestabola Merdeka Edisi Ke-39 menewaskan Myanmar 3-1, membuktikan Malaysia masih mempunyai pasukan yang boleh diharapkan selain mempunyai masa depan cerah selepas kegagalan di Piala Asia, bulan lalu.

‘‘Jika sebelum ini semua pihak sangsi bola sepak negara sudah berkubur hanya semata-mata kita gagal di Piala Asia tetapi skuad bawah 23 sebenarnya memberi nafas baru, betapa kita masih ada barisan pemain yang boleh diharapkan.

‘‘Bagi saya tidak perlu ada sikap cabar mencabar mempertaruhkan skuad bawah 23 negara harus mendapat pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA di Korat hujung tahun ini.

‘‘Cuba kita lihat Brazil sebuah pasukan yang cukup mantap tetapi terkulai di suku akhir Piala Dunia di Jerman dan dalam bola sepak sukar untuk kita membuat ramalan,’’ ujar Sathianathan ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Azalina betapa kejayaan skuad kebangsaan muncul juara Pestabola Merdeka Rabu lalu tidak membawa sebarang pengertian jika tidak membawa pulang pingat emas dalam acara bola sepak.

Bagi Sathianathan, sejak diberi mandat mengemudi skuad Sukan Sea, beliau telah menyemat azam untuk memastikan kilauan emas bakal dibawa pulang.

‘‘Memang kita boleh merancang dan mengatur segalanya tetapi dalam bola sepak macam-macam boleh terjadi.

‘‘Sedangkan Brazil yang dikatakan kuat pun tersingkir di suku akhir Piala Dunia,’’ ujarnya.

Jurulatih itu berkata, sepatutnya skuad ini seharusnya diberikan sokongan moral yang lebih padu daripada semua pihak kerana barisan muda negara telah membuktikan kita masih ada pasukan yang boleh menjanjikan sesuatu.

Ujarnya, kemenangan di Pestabola Merdeka sebenarnya membakar semangat pemain dan membulatkan tekad rasa yakin mereka bakal berjuang habis-habisan untuk membawa pulang pingat emas di Sukan Sea nanti.

Kejayaan skuad muda kendalian Sathianathan mula menjadi perbualan hangat di kalangan pemimpin sukan dan peminat selepas mempamerkan aksi paling mantap.

Mengulas lanjut jurulatih itu berkata, kejayaan di Stadium Shah Alam itu sebagai permulaan yang baik bagi mencetus sinar baru kancah bola sepak negara.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak meletakkan sebarang harapan besar ke atas pemain kerana ini akan membebankan pemain sendiri.

‘‘Yang penting, berilah pemain saya sokongan moral yang dapat menyuntik kekuatan keyakinan berterusan di Sukan SEA nanti,’’ ujarnya.

Malah, beliau tidak menafikan kejayaan ini juga secara tidak langsung turut menggerunkan tuan rumah Thailand dan seteru utama Vietnam.

‘‘Mungkin mereka akan melihat skuad kebangsaan kali ini tidak boleh dipandang ringan,’’ katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vYEzIaT5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan