Rabu, 18 Oktober 2017

Penyudah B23 masih tumpul



ARKIB : 24/11/2007

PETALING JAYA - Skuad Bawah 23 Tahun Malaysia yang bakal ke Sukan SEA Korat, bulan depan, terus dirundung masalah ketumpulan penyudah apabila sekadar menang tipis 1-0 ke atas pasukan Liga Perdana, PKNS di Padang PKNS, Kelana Jaya, semalam.

Anak buah B. Sathianathan yang beroleh gol tunggal menerusi Bobby Gonzalez pada minit ke-84, sekali lagi bermain hambar sehingga mensia-siakan tidak kurang lima peluang jaringan termasuk menerusi gandingan utama, Safee Sali dan Zaquan Adha Radzak.

Bobby, pemain gantian dari Sabah, menyudahi umpanan Norshahrul Idlan Talaha yang mencipta gerakan menarik dengan menggelecek dua benteng PKNS yang diketuai bekas pemain kebangsaan, K. Sanbagamaran, sebelum menolak mudah ke gawang dari sebelah kiri.

Perlawanan persahabatan ini merupakan yang ketiga buat Malaysia menjelang temasya dwitahunan ke-24 itu selepas seri 1-1 dengan skuad sebaya Thailand di Bangkok dan kalah 1-0 kepada skuad kebangsaan Maldives biarpun menguasai perlawanan di Stadium Petaling Jaya.

Skuad Sukan SEA Indonesia yang menganggotai Kumpulan A Sukan SEA, bakal menjadi ujian terakhir Malaysia di Stadium Kuala Lumpur, Isnin ini sebelum berlepas ke Korat dengan 20 pemain terbaik untuk menghadapi lawan sulung dalam Kumpulan B, Vietnam pada 1 Disember ini.

Sathianathan berkata, PKNS yang menggantikan skuad Olimpik Bostwana bagi perlawanan persahabatan Rabu lalu, tetap memberikan ujian getir kepada anak buahnya walaupun keputusan perlawanan kurang memuaskannya terutama dari segi penyudahan Zaquan dan Safee.

“Saya perlukan dua hari lagi untuk menamakan skuad dan setakat ini saya mempunyai 22 yang terbaik daripada 28 pelatih dengan salah satunya yang bakal digugurkan ialah penjaga gol (di antara Syed Adney Syed Hussein, Nasril Nourdin dan Farizal Marlias,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vqa9eX2U
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan