ARKIB : 23/08/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Pemain Malaysia, Mohd. Zaquan
Adha Abd. Razak (kanan) berusaha melepasi kawalan pemain Myammar, Zaw Khing Win
(tengah) pada perlawanan bola sepak Pesta Bola Merdeka di Stadium MBPJ Kelana
Jaya, malam tadi. Malaysia tewas 1-2. Gambar SHAIFUDIN MOHD NOR.
PETALING JAYA Malaysia
tersepit di laluan yang sulit untuk ke separuh akhir bola sepak Pestabola
Merdeka ke-39 apabila dikejutkan Myanmar 2-1 dalam perlawanan Kumpulan A di
Stadium Petaling Jaya, semalam.
Kekalahan pada perlawanan kedua
ini menurunkan anak buah B. Sathianathan ke tangga kedua dan terpaksa menunggu
dan mengintai sisa peluang menerusi perlawanan terakhir menentang Lesotho
manakala Myanmar menjadi pasukan pertama meraih tiket tersebut.
Myanmar menghukum tuan rumah
yang hanya bermain dengan 10 orang sepanjang 89 minit permainan setelah
kehilangan penyerang Safee Sali sehingga beroleh tiga mata hasil jaringan Aung
Myo Thant dan Yan Paing pada minit ke-41 dan 51 sebelum dirapatkan oleh Zaquan
Adha Radzak pada minit ke-69.
Petanda awal nasib malang skuad
negara muncul hanya beberapa saat perlawanan bermula angkara kekasaran Safee
terhadap Zaw Lynn Tun yang betul-betul berlaku di depan kawasan bangku simpanan
pelawat. Penyerang Selangor itu dibuang padang oleh pengadil, Chaiya Alee
Mahapab.
Sekalipun tinggal 10 orang,
skuad negara masih cuba bangkit memulihkan tumpuan sehingga beroleh sepakan
bebas berdekatan kotak penalti namun dua percubaan terus Khyril Muhymeen pada
minit kelima dan ke-16 sekadar tersasar dan ditepis keluar.
Minit ke-18 menyaksikan
rembatan awangan Aidil Zafuan Radzak pula menyinggahi gawang Myanmar sebelum
ketangkasan penjaga golnya, Aung Aung Oo menumbuk keluar menyekat percubaan bek
tengah Malaysia berusia 20 tahun itu.
Stadium Petaling Jaya tiba-tiba
gamat dengan sorakan hampir 5,000 penyokong Myanmar pada minit ke-41 apabila
sepakan melengkung Aung Myo Thant daripada umpanan Myo Min Tun berjaya
menembusi penjaga gol tuan rumah, Nasril Nourdin.
Yan Paing pula menambah derita
Malaysia dengan sepakan leret tepat dalam kawasan penalti yang sekali lagi
menewaskan Nasril pada minit ke-51 hasil umpanan lambung dari sebelah kanan.
Namun tuan rumah masih tidak
putus asa untuk merapatkan jurang gol 1-2 daripada gerakan satu sama satu
antara Khyril Muhymeen dengan Zaquan Adha membuahkan gol pada minit ke-69.
Mendapat umpanan lambung jauh,
Khyril melorongkan kepada Zaquan Adha yang membolosi kubu lawan dengan larian
kencang sambil melepaskan rembatan kencang kaki kiri yang menuju ke penjuru
Myanmar sekali gus mencairkan kekebalan Oo.
Sementara itu, satu lagi perlawanan
Kumpulan A menyaksikan Lesotho menghidupkan semula peluangnya ke separuh akhir
dengan menumpaskan Laos 3-1.
Lesotho memperoleh gol menerusi
Potse Refiloe, Maipato Tefo dan Moleko Katleho pada minit ketiga, keenam dan
23. Manakala jaringan Laos dilakukan Visay Phaphouvaning pada minit ke-26.
Tiga pemain turut dilayang kad
merah iaitu Kovanh Manthavisay dan Somsanouk Lovanxay dari Laos dan Muso Sallo
(Lesotho).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vPON1kxk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan