ARKIB : 05/07/2007
PETALING JAYA Pasukan
Malaysia yang ada sekarang mampu mengatasi lawan, begitulah kata-kata
memberangsangkan legenda bola sepak negara, Datuk Abdul Ghani Minhat.
Katanya, skuad kebangsaan yang
ada sekarang tidak mempunyai sebarang kekurangan berbanding pasukan negara lain
daripada segi persediaan latihan.
Namun, kata penyerang berbisa
tahun-tahun lewat 50-an dan awal 60-an ini, azam dan tekad untuk menang mestilah
ada pada setiap seorang daripada pemain negara kerana bola sepak ini kerja
berpasukan.
Selain keinginan untuk menang,
semangat patriotik pemain juga harus kental, katanya kepada Bernama.
Semua pemain ini kena faham,
main bola adalah tugas yang diamanahkan kepada pemain untuk menang demi negara.
Dulu masa tahun 50-an dan 60-an, menjulang nama negara lebih penting daripada
segala-galanya.
Masa saya dan pasukan dipilih
untuk wakili Malaya ketika itu untuk Pestabola Merdeka, kami hanya dibayar
elaun RM10 sehari, tidur pun di asrama yang tidak berhawa dingin seperti
sekarang. Tiada kemewahan yang kami terima tapi semangat untuk julang nama negara,
itu keutamaan kami, kata Abdul Ghani yang terkenal dengan jolokan Raja Bola.
Menurut beliau kegagalan perlu
dijadikan pengajaran dan panduan berguna dan bukannya penghalang untuk
memajukan diri.
Bila sudah diberi peluang
mewakili Malaysia, maka mainlah dengan betul-betul. Bila menang, anda akan rasa
gembira. Dulu, saya kalau kalah, saya kecewa sangat, sampai tak boleh tidur,
kata Abdul Ghani.
Abdul Ghani pada zaman
kegemilangannya membantu Selangor menjuarai Piala Malaya/Malaysia pada 1956, 1959,
1961, 1962, 1963, 1966, 1968 dan 1969.
Kejayaannya di peringkat
antarabangsa pula tercipta apabila membantu Malaya (ketika itu) menjuarai
Pestabola Merdeka tiga tahun berturut-turut dari tahun 1958 hingga 1960.
Beliau juga antara nadi skuad
kebangsaan meraih pingat emas bola sepak pada Sukan SEAP (sekarang Sukan SEA)
1961 menumpaskan Burma (ketika itu) 2-1 pada perlawanan akhir.
Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4uLyx3rAN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan