Jumaat, 13 Oktober 2017

Menang bukan mustahil - CYC: Perlawanan Malaysia menentang PSV Eindhoven



ARKIB : 12/08/2007

Oleh: SAYED HESHAM IDRIS

KUCHING – Misi ke suku akhir Piala Juara-Juara Belia bukan mustahil bagi skuad negara selepas mempamerkan aksi cemerlang pada dua perlawanan Kumpulan D, di sini.

Jurulatih, Robert Alberts berkata, walaupun sukar ke suku akhir apabila berdepan PSV Eindhoven pada perlawanan terakhir kumpulan yang dipindahkan ke Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, hari ini, sasaran itu mampu direalisasikan.

Katanya, persembahan bertenaga pada perlawanan dengan Bayern Munich dan Chelsea membuktikan skuad negara setanding dengan lawan yang profesional dari segenap aspek.

‘‘Kita semua telah melihat keupayaan pemain negara, jadi nilai sendiri kemampuan mereka.

‘‘Jika pemain beraksi lebih kemas apabila menentang PSV Eindhoven, misi ke suku akhir mampu kita capai,” katanya selepas perlawanan dengan Chelsea di sini, kelmarin.

Skuad negara tumpas 1-2 di tangan Bayern Munich pada perlawanan pembukaan Kumpulan D di sini, Rabu lalu walaupun memberikan persembahan bertenaga.

Aksi kemas Malaysia diteruskan, kelmarin apabila mengikat Chelsea tanpa jaringan.

Bayern muncul pasukan pertama Kumpulan D layak ke suku akhir apabila mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Chelsea dan PSV Eindhoven.

PSV di tangga kedua dengan tiga mata manakala Malaysia di tangga ketiga dengan satu mata, mengatasi Chelsea di tangga tercorot berdasarkan kelebihan jaringan.

Alberts yang memuji semangat dan kesungguhan pemain negara memberi tentangan kepada pasukan bertaraf dunia yakin aksi cemerlang pada dua perlawanan sebelum ini bakal diteruskan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, sebelum perlawanan dengan Chelsea kelmarin, dia meramalkan sukar untuk pasukan negara menyaingi lawan yang sempurna di semua bahagian.

‘‘Sukar untuk saya mencari kelemahan Chelsea pada perlawanan pertama mereka dengan PSV Eindhoven.

‘‘Namun percaturan menambahkan asakan pada perlawanan ini (kelmarin) berhasil apabila kita menguasai perlawanan dan kerap kali mencemaskan kubu lawan,” katanya.

Dalam masa yang sama Alberts mengakui pemain negara berdepan tugas getir untuk menjinakkan PSV hari ini kerana wakil Belanda itu juga mahukan kemenangan untuk ke suku akhir.

Dia yang dijangka akan menurunkan barisan pemain yang sama ketika menentang Bayern dan Chelsea berharap pemain meneruskan corak permainan kemas seperti sebelum ini.

Alberts turut berharap para penyokong memenuhi Stadium KLFA hari ini untuk memberi sokongan kepada skuad negara seperti mana yang ditunjukkan oleh penyokong di Kuching.

‘‘Saya berpuas hati dengan jumlah kehadiran penyokong di Stadium Sarawak demi menaikkan semangat pemain.

‘‘Saya mengharapkan senario yang sama pada perlawanan skuad negara di Kuala Lumpur,” katanya

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vOC30i6g
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan