Selasa, 3 Oktober 2017

FAM: Sultan Pahang mahu kekal, Khairy berundur



ARKIB : 16/07/2007

KUALA LUMPUR 16 Julai - Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah mahu terus menerajui badan induk bola sepak negara itu, walaupun orang ramai mahukan pimpinan tertinggi persatuan itu meletak jawatan berikutan prestasi buruk pasukan kebangsaan Malaysia pada Piala Asia yang sedang berlangsung.

Malah, Sultan Pahang merancang untuk menjalankan apa yang baginda panggil “proses baik pulih” besar-besaran pada persatuan yang dikritik teruk itu.

Baginda juga merancang menjalankan siasatan terhadap prestasi pasukan kebangsaan, yang disifatkan ramai peminat bola sepak sebagai memalukan negara.

“Selepas berakhirnya perlawanan terakhir pasukan kebangsaan pada pertandingan itu, kita akan adakan siasatan,” kata baginda kepada pemberita, yang menjangkakan baginda akan mengumumkan peletakkan jawatan selepas 23 tahun menerajui FAM, sebaik tiba di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Desakan untuk perubahan pimpinan dalam FAM semakin meningkat berikutan pengumuman mengejut semalam oleh anakanda baginda, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk meletakkan jawatan dengan serta-merta sebagai timbalan presiden dan jawatan-jawatan lain dalam FAM.

Ditanya wartawan kenapa baginda memutuskan untuk terus menerajui FAM, baginda menjawab: “ Saya bukan pengecut. Saya tidak akan tunduk kepada desakan ramai.”

Sultan Ahmad Shah berkata, baginda juga akan mempengerusikan mesyuarat pada minggu depan bagi mencari “penyelesaian terbaik” bagi keadaan terkini persatuan itu.

Malaysia, yang menjadi tuan rumah perlawanan kumpulan C Piala Asia, tewas 1-5 kepada China pada perlawanan pembukaan 10 Julai lepas dan mengalami kekalahan 0-5 kepada Uzbekistan Sabtu lalu.

Ranking pasukan kebangsaan juga jatuh ke tangga 149 dalam ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas berada pada kedudukan ke-118 beberapa tahun lepas.

Sultan Ahmad Shah berkata, baginda juga menerima surat daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad yang menyatakan hasrat untuk meletak jawatan bulan depan apabila tempoh perkhidmatannya selama dua tahun tamat.

Tahun lepas, Ibrahim telah menyatakan bahawa beliau mahu meletak jawatan, bagaimanapun, beliau kemudiannya tidak berbuat demikian.

Akhbar-akhbar hari ini banyak mengeluarkan kritikan-kritikan pedas terhadap keseluruhan pimpinan FAM kerana memegang jawatan terlalu lama dan gagal menguruskan pembangunan bola sepak walaupun Malaysia pernah menjadi kuasa bola sepak Asia, malah berada pada ranking yang lebih tinggi daripada Korea Selatan, yang layak ke separuh akhir Piala Dunia 2002.

Kecaman terhadap pimpinan FAM kali ini begitu teruk dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Mengulas mengenai keputusan Tengku Abdullah meletakkan jawatannya, baginda berkata: “Walaupun beliau anakanda saya, saya kena hormat keputusan beliau.”

Menjawab soalan berikutnya, Sultan Ahmad Shah, bagaimanapun, berkata, baginda bersedia untuk menyerahkan jawatan presiden jika ada calon yang sanggup.

“Saya akan terus berkhidmat, tetapi jika ada yang sanggup ambil alih, mereka dialu-alukan,” kata baginda.

Sementara itu, anggota bebas majlis FAM, Khairy Jamaluddin hari ini meletakkan jawatannya dengan serta-merta.

Dalam surat kepada Setiausaha Agung FAM, Khairy, yang menjadi anggota bebas FAM pada 2005, berkata, beliau membuat tindakan itu sebagai tanda hormat kepada keputusan Tengku Abdullah meletakkan jawatan daripada persatuan itu.

“Ini kerana Tengku Abdullah adalah individu yang membawa saya masuk ke dalam Majlis FAM.

“Saya membuat tindakan ini atas dasar bersama dan berkongsi tanggungjawab berikutan prestasi yang semakin merosot skuad bola sepak kebangsaan,” katanya.

Sumber-sumber menyatakan bahawa peletakan jawatan Tengku Abdullah dijangka membawa kepada peletakan jawatan lain di kalangan anggota Majlis FAM dalam beberapa hari ini. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm#ixzz4uSDkeALt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan