Ahad, 1 Oktober 2017

Beri ruang untuk pemain muda: Ramli Junit



Sabtu, 30 September 2017 | 2:21pm
 
SKUAD muda Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee mempunyai masa depan cerah. - Foto Asyraf Hamzah
Beri ruang untuk pemain muda: Ramli Junit
Oleh Nazri Abu Bakar
bhsukan@bh.com.my

MELAKA: Pemain baharu Liga Malaysia (Liga M) diingatkan supaya meningkatkan prestasi masing-masing untuk memastikan mereka setaraf dengan pemain utama pasukan, sama ada di Liga Super mahupun Liga Perdana.

Legenda bola sepak negara, Ramli Junit berkata, jika kualiti permainan mereka setaraf atau hampir sama dengan kesebelasan utama atau pemain simpanan pasukan negeri atau kelab, pastinya saingan Liga M akan menjadi lebih menarik.

LEGENDA bola sepak negara, Ramli Junit gesa pemain muda tingkatkan prestasi.

Ia kerana, ketika ini, kebanyakan pasukan hanya bergantung dengan pemain sama pada setiap perlawanan, dengan pemain baharu tidak mendapat tempat sekali gus menyebabkan jurang kualiti pemain senior dan muda semakin ketara.

Beliau berkata, situasi terbabit meletakkan jurulatih enggan menurunkan pemain kurang berpengalaman dan akhirnya, mereka akan kekal sebagai pemain kurang popular atau sekadar memanaskan bangku simpanan.

"Pemain muda harus diberikan ruang lebih luas untuk beraksi di Liga M musim depan, sekali gus bakal membentuk bintang baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Jika setiap pasukan memiliki minimum tujuh pemain muda berkualiti, tiada masalah untuk skuad terbabit menampilkan aksi terbaik walaupun kehilangan pemain tonggak yang cedera atau menyertai skuad Harimau Malaya.

"Ketiadaan senior itu bakal menjadi medan buat pemain muda menunjukkan kehebatan," katanya.

Ketika ini, hanya beberapa pasukan yang memiliki pemain muda dan simpanan yang sama kualiti terutama Johor Darul Ta'zim (JDT), namun Ramli yakin dengan kehadiran lima import musim depan jurang itu mampu dikecilkan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE  Sabtu, 30 September 2017 | 2:21pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan