KAPTEN Harimau Malaya, Safiq
Rahim (dua dari kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan bagi persiapan
menentang Hong Kong pada 10 Oktober ini. - Foto Khairunisah Lokman
Alih fokus ke Hong Kong - FAM
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau
Malaya terpaksa mengalihkan fokus kepada aksi berdepan Hong Kong pada 10
Oktober ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia sekali lagi menunda perlawanan
menentang Korea Utara yang sepatutnya berlangsung di Pyongyang, Khamis ini.
Penundaan aksi Kumpulan B
berdepan Korea Utara itu dilakukan selepas mendapat arahan terbaharu larangan
perjalanan ke Korea Utara daripada Kerajaan Malaysia.
Susulan daripada itu, Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin
mengesahkan penundaan kem latihan pusat skuad negara yang sepatutnya bermula
esok kepada Rabu ini.
"Berdasarkan perkembangan
terbaharu ini, kem latihan pusat skuad kebangsaan hanya akan bermula pada Rabu
di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi menghadapi satu lagi perlawanan Kelayakan Piala
Asia 2019 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober nanti,"
kata Hamidin dalam satu kenyataan, petang ini.
Ia adalah kali ketiga AFC
terpaksa menunda aksi kedua-dua pasukan itu kerana masalah ketegangan politik
yang melanda Korea Utara.
Pada asalnya pertemuan Malaysia
dan Korea Utara dijadualkan berlangsung pada 28 Mac di Stadium Kim Il-Sung
sebelum ditunda kepada 8 Jun, dan tarikh itu sekali lagi ditunda kepada 5
Oktober kerana masalah sama.
Menerusi satu kenyataan media
yang dikeluarkan AFC, semalam, penangguhan aksi terbabit dibuat selepas FAM
memaklumkan Kementerian Luar Malaysia melarang rakyat negara ini daripada
memasuki negara terbabit.
Selain itu, menerusi kenyataan
sama, Hamidin menjelaskan segala perkembangan lanjut mengenai status aksi
berdepan Korea Utara akan dimaklumkan kemudian oleh AFC
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis,
28 September 2017 | 6:22pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan