Sabtu, 14 Oktober 2017

Pesta malam gemilang



ARKIB : 30/08/2007
Oleh AMRAN MULUP
 
BARISAN pemain negara melambaikan tangan ketika meraikan kejayaan mereka di hadapan ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Shah Alam pada perlawanan akhir bola sepak Pestabola Merdeka edisi ke-39, malam tadi. Malaysia muncul juara selepas menewaskan Myanmar 3-1. – Gambar ASWAD YAHYA.

SHAH ALAM – Sambutan ulang tahun ke-50 Kemerdekaan negara bertambah ceria apabila skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 menghadiahkan gelaran kejuaraan Pestabola Merdeka Edisi ke-39 selepas menewaskan penyandang juara, Myanmar 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Malam penuh gemilang menyaksikan tiga gol menerusi Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak (m-12), jaringan sendiri Myanmar Moe Win (m-55) dan Safee Sali (m-60) mengangkat semula martabat bola sepak negara dengan aksi paling menakjubkan disaksikan kira-kira 45,000 penyokong.

Sorakan paling gemuruh dan penonton paling ramai tahun ini menyaksikan aksi bertenaga melihat betapa anak didik B. Sathianathan membuktikan bola sepak Malaysia masih belum berkubur.

Kemenangan tersebut buat kali ke-11 turut meleburkan kemarau 14 tahun tanpa gelaran apabila kali terakhir skuad kebangsaan bergelar juara pada kejohanan ini ketika barisan yang diketuai oleh Dollah Salleh dan Azman Adnan menewaskan Korea Selatan B 3-1 pada 1993.

Lebih manis kejayaan paling gemilang tahun ini menjelang sambutan kemerdekaan Malaysia esok turut disaksikan buat pertama kali Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Pujian wajar diberikan kepada barisan muda kebangsaan mempamerkan aksi paling mantap ketika menewaskan Singapura 3-1 di separuh akhir dan aksi tersebut diteruskan dengan menewaskan Myanmar 3-0 walaupun pada saingan awal anak didik Sathianathan tewas 2-1.

Hanya selepas 12 minit babak berlangsung stadium digegarkan dengan pekik sorakan penyokong apabila penyerang Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak menolak masuk gol pembukaan menewaskan penjaga gol Myanmar, Aung Aung Oo.

Gol berpunca daripada gerakan satu dua dan Safee Sali bijak melorongkan bola ke arah Mohd. Zaquan yang mengelecek salah seorang pertahanan lawan sebelum mudah menolak masuk ke penjuru kiri gol.

Jaringan awal itu membuatkan Myanmar tersentak dan menggandakan asakan mencari gol penyamaan.

Empat minit babak kedua bermula penjaring terbanyak Myanmar, Yan Paing hampir-hampir mengikat kedudukan apabila rembatannya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol skuad kebangsaan, Syed Adney Syed Hussin.

Kedudukan Malaysia semakin kukuh apabila jaringan kedua diperoleh pada minit ke-56 jaringan sendiri pemain pertahanan Myanmar, Aung Myo Thant.

Lima minit selepas itu sorakan Malaysia bergema lagi apabila giliran Safee pula menolak masuk gol ketiga skuad kebangsaan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vWwnpADU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan