Rabu, 4 Oktober 2017

Adney tidak berani ramal



ARKIB : 31/07/2007

Oleh AMRAN MULUP

PETALING JAYA – Penjaga gol skuad Olimpik, Syed Adney Syed Hussein tidak berani meramalkan peluangnya untuk memikat kelab divisyen Dua, Darlinton FC dan Liga Perdana, Middlesbrough apabila mengharungi ujian pemilihan di England bermula esok.

Menyedari ujian getir perlu diharungi bermula dengan Darlington FC dari 1 hingga 8 Ogos dan Middlesbrough (9-13 Ogos), namun pemain berusia 21 tahun itu tetap bertekad untuk memberikan persembahan terbaik.

‘‘Saya amat gembira mendapat peluang ini tetapi peluang untuk mendapat tempat dengan kelab tersebut sukar untuk diramalkan.

‘‘Saya sedar ujian getir yang akan diharungi tetapi keyakinan saya cukup tinggi dan saya yakin dengan keupayaan saya.

‘‘Terpulang kepada kedua-dua kelab tersebut jika mereka berminat menawarkan tempat kepada saya, ini adalah khabar paling gembira jika tidak saya akan mencuba lagi selepas ini,’’ ujarnya.

Dia menyatakan demikian dalam sidang akhbar di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya di sini, semalam.

Pada majlis tersebut Syed Adney menerima sumbangan berjumlah RM15,000 daripada Syarikat Dataran Fokus menerusi Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Ghazali Ahmad sebagai pembiayaan sepanjang dua minggu pemain itu berada di England.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, penghantaran Syed Adney adalah di bawah program Revolusi Bola Sepak Malaysia (MFR) yang dinaungi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, sebelum ini tiga pemain bola sepak negara iaitu Lim Chan Yeu, Fadzli Saari dan Syamsuri Mustapha telah menjalani ujian dengan kelab Bournmouth FC di England.

‘‘Malangnya mereka gagal untuk memikat kelab tersebut menawarkan tempat dan kali ini giliran Syed Adney dan FAM berharap dia berjaya.

‘‘Jika dia (Syed Adney) berjaya, ini adalah satu revolusi baru dalam bola sepak negara,’’ ujar Ibrahim lagi.

Syed Adney, 21, kelahiran Liverpool England mempunyai pengalaman bermain dengan skuad Olimpik, bawah 23 dan bawah 21 kebangsaan selain mewakili skuad Selangor bawah 19 tahun.

Dia membuat sebanyak 30 penampilan untuk pasukan B23 dan B21 negara memulakan karier profesionalnya pada 2004.

‘‘Saya akan cuba memberikan aksi terbaik jika gagal ia adalah pengalaman terbaik saya.

‘‘Pengalaman itu akan saya gunakan untuk Kejohanan Pesta Bola Merdeka dan Sukan Sea di Korat hujung tahun ini,’’ ujar Syed Adney lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4uYNFoQdg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan