Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
SELEPAS tiga perlawanan, Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhirnya
mengakui Harimau Malaya tiada peluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia
2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ini kerana beliau menyatakan
skuad kendalian Nelo Vingada itu perlu rombakan drastik kerana pemain sedia ada
sudah tidak boleh pergi jauh. Malah, lebih separuh daripada pemain senior juga
sudah tiada hati untuk menyarung jersi kebangsaan.
“Ada pemain yang terpaksa pergi
kerana dipanggil dan sebenarnya mereka tak nak ada di situ. Mungkin lebih 50
peratus pemain senior. Saya mahu perubahan yang drastik tapi anda perlukan
masa, tak boleh esok terus dapat keputusan.”
TUNKU Ismail beri masa kepada
Vingada. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
“Secara realistik, pasukan ini
akan terus mencatat kekalahan, seri, kalau menang bagus. Pasukan ini tak akan
menang sehingga kita mencari pemain yang betul-betul 100 peratus nak main dan
kita juga perlu menukar DNA,” katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh
ahli panel dalam sesi soal jawab di JDT Cafe, semalam.
Selepas kalah kepada Lubnan
1-2, seri 1-1 dan kalah 0-2 dengan Hong Kong, peluang skuad Harimau Malaya
kendalian Nelo Vingada untuk melepasi kelayakan Kumpulan B semakin sukar
apabila kini menduduki tangga tercorot.
Ia mengecewakan peminat apabila
FAM memberikan harapan baharu dengan pelantikan Vingada Mac lalu dengan
meletakkan sasaran layak ke Piala Asia 2019.
Malaysia kini ada baki dua
perlawanan menentang Korea Utara dan satu perlawanan dengan Lubnan di laman lawan.
Tunku Ismail berkata, sudah
tiba masanya untuk pemain muda mengambil alih tempat dalam skuad kebangsaan
biarpun ia akan mengambil masa untuk berjaya.
“Bila saya lihat Syamer (Kutty
Abba) bermain saya gembira, saya fikir ini antara pemain untuk generasi
seterusnya kerana pemain yang ada dalam skuad sekarang bukan ada untuk dua tiga
tahun lagi. Sekarang adalah masa untuk generasi baru sambil beberapa pemain
senior akan memainkan peranan menjadi contoh kepada pemain muda,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:15 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan