Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
TONGGAK tengah Harimau Malaya,
Syamer Kutty Abba membuktikan betapa jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada perlu
memanggil lebih ramai pemain muda ke dalam skuad itu pada masa akan datang.
Bekas penolong jurulatih skuad
Olimpik Moscow 1980, Datuk Mohamad Bakar menjelaskan pemain kelahiran Pulau
Pinang itu beraksi cemerlang walaupun kali pertama mewakili skuad senior
negara.
Beliau berkata, Vingada
seharusnya membuka mata untuk menyerap lebih ramai pemain muda dalam baki tiga
perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2019.
Katanya, ia juga sebagai
langkah terbaik untuk melakukan persediaan awal skuad kebangsaan bagi
menghadapi kejohanan akan datang, termasuk Piala AFF Suzuki tahun depan.
“Kenapa perlu takut untuk
panggil pemain muda sedangkan mereka ada potensi. Buktinya, Syamer yang kali
pertama dipanggil tetapi beraksi lebih baik daripada pemain senior.”
“Bagi saya kemampuan pemain
senior ketika ini sudah berada pada tahap maksimum, sukar untuk diubah lagi.
“Jadi, untuk masa akan datang senaraikan lebih ramai pemain baharu dan muda.
Mereka perlu diberi peluang dan ia baik untuk skuad kebangsaan menghadapi
kejohanan akan datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain Syamer, Nor Azam Azih
dan Adam Nor Azlin menjadi antara pemain bawah 23 tahun negara yang kali
pertama disenarai Vingada ketika skuad itu tewas 0-2 kepada Hong Kong dalam
aksi kelayakan Piala Asia 2019, kelmarin. Selain itu, Mohamad berkata anak didik
Vingada sepatutnya tidak boleh tewas kepada pasukan Hong Kong yang dilihat
memiliki kekuatan setaraf dengan Harimau Malaya.
“Apa yang saya lihat, Malaysia
berjaya mengimbangi Hong Kong pada babak pertama, cuma kita tiada penyerang
selain faktor kad merah diterima Safiq (Rahim).”
“Memang saya tidak setuju
dengan tindakan Safiq, dia sepatutnya lebih profesional dan menunjukkan teladan
yang baik sebagai kapten pasukan. Kita sepatutnya tak tewas kerana Hong Kong
bukan kuat sangat walaupun dibarisi ramai pemain naturalisasi dan sekarang ini
peluang negara untuk layak sangat sukar kerana mereka perlu berdepan Lubnan dan
Korea Utara,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:22 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan