ARKIB : 16/12/2009
Pemain-pemain bola sepak negara menyambut Zaquan Adha Abdul Radzak (lima dari kiri) yang tiba di Vientiane, semalam selepas sakit matanya pulih sepenuhnya.
VIENTIANE Kecuali Amirulhadi Zainal yang masih digantung, jurulatih K. Rajagobal kembali memiliki semua pemain yang dimahukan apabila bertemu Vietnam pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV, esok.
Kehadiran semula Zaquan Adha Abdul Razak dari Kuala Lumpur ke Laos, semalam setelah pulih daripada masalah mata yang dialaminya, pastinya akan menambah semangat dan sengat jentera serangan.
K. Rajagobal juga kembali mendapat sentuhan pemain sayap, Ahmad Fakri Saarani yang selesai menjalani hukuman satu perlawanan.
Jadi, Rajagobal sudah mendapat skuad impian dalam misi menamatkan kemarau emas 20 tahun acara bola sepak Sukan SEA esok.
Mengulas perlawanan esok, pengurus skuad bola sepak negara ke Sukan SEA, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, skuad kebangsaan kini kembali mendapat sentuhan semua pemain tonggak untuk perlawanan dengan Vietnam setelah pelbagai masalah melanda sejak peringkat kumpulan lagi.
Menurutnya, kehadiran semula Zaquan serta Ahmad Fakri membolehkan Rajagobal menurunkan barisan terkuatnya esok.
Sebelum ini kita dilanda pelbagai masalah seperti kecederaan dan penggantungan pemain utama.
Namun, kita mengharungi semua dengan pemain yang ada sehingga berjaya ke final.
Kita terpaksa menurunkan pemain yang tidak cergas seratus peratus seperti Shafiq Rahim dan Baddrol Bakthiar kerana tidak punya banyak pilihan.
Begitupun saya bersyukur kerana kita berjaya juga ke perlawanan akhir dan saya berharap para pemain memberikan aksi terbaik mereka apabila menentang Vietnam nanti, katanya.
Menurutnya, kehadiran Zaquan dan Ahmad Fakri tidak syak lagi menambah sengat di bahagian serangan.
Walaupun kita menang ke atas Laos pada peringkat separuh akhir, namun jentera serangan kita tidak begitu menyengat pada perlawanan tersebut.
Namun, kini kita kembali mendapat sentuhan Zaquan dan Ahmad Fakri, jadi kita yakin kehadiran mereka akan memantapkan lagi pergerakan di bahagian serangan apabila berdepan Vietnam nanti, katanya. Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YhCkSIMR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan