Selasa, 4 Disember 2018

Santokh saran B-23 dikekalkan


 
ARKIB : 31/12/2009
Santokh saran B-23 dikekalkan
Mokthar Ahmad (kiri) menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada Santokh Singh sambil diperhatikan isterinya, Taljit Kaur (kanan) semasa lawatan Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Selangor di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur semalam.
 KUALA LUMPUR - Legenda bola sepak negara, Santokh Singh menyarankan skuad bawah 23 yang mengakhiri kemarau pingat emas 20 tahun dalam Sukan SEA Laos, baru-baru ini dikekalkan kerana ia mampu menjanjikan harapan yang cerah pada masa depan.

Bekas bek tengah kental Selangor dan Malaysia sekitar 80-an ini turut menganggap keserasian dan persefahaman mereka selepas temasya dwitahunan itu yang lebih lama, akan menjamin kemantapan dan corak permainan pasukan ke peringkat lebih tinggi.

"Namun bagi saya ruang untuk diperbaiki masih ada khususnya pada bahagian pertahanan dan serangan. Di tengah, tampak tiada masalah," katanya, semalam.

Terdahulu, tonggak Selangor itu menerima lawatan Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ke kediamannya di sini.

Santokh merupakan antara bintang di samping Datuk Soh Chin Aun, mendiang R. Arumugam, Datuk Jamal Nasir, James Wong dan Hassan Sani serta ramai lagi yang membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 walaupun tidak menyertainya kerana pemulauan terhadap Kesatuan Soviet.

Santokh yang ditemui sejak dibenarkan keluar Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah tidak sedarkan diri dan dikesan mengalami jangkitan kuman pada otak, bulan lalu, turut menerima sumbangan RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad.

"Terima kasih banyak kepada FAS atas sumbangan dan sikap pemurah mereka. Walaupun saya tidak dapat mengingat apa-apa ketika dimasukkan ke HKL, isteri saya banyak memberitahu apa yang berlaku dan sokongan pelbagai pihak sebelum ini," katanya.

Bekas pemain itu kini sudah boleh bergerak bebas dan membuat kerja ringan di rumah dengan ditemani isterinya, Taljit Kaur malah dianggap sudah pulih walaupun mendapat nasihat doktor supaya menjauhi sebarang kegiatan luar rumah buat sementara.

"Sejak dibenarkan keluar HKL pada 9 Disember lalu, doktor juga nasihatkan supaya banyakkan berehat di rumah terlebih dulu," kata isteri Santokh.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Yick7YOr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan