ARKIB : 19/12/2009
KUALA LUMPUR - Raja Bola, Datuk Abdul
Ghani Minhat memuji aksi yang dipamerkan oleh skuad bawah 23 sepanjang beraksi
di Sukan SEA Laos sehingga berjaya mengakhiri kemarau emas 20 tahun negara di
kejohanan tersebut.
Katanya, skuad kendalian K.
Rajagobal telah melakukan kebangkitan yang bagus dan tepat pada masanya iaitu
ketika mana sukan tersebut sangat memerlukan sokongan padu penyokong setia.
Menurutnya, skuad tersebut
mempunyai masa depan yang cerah dan boleh pergi lebih jauh.
"Skuad itu dibarisi pemain
muda dan mempunyai banyak ruang untuk terus membangun. Malah, saya juga dapat
melihat ada keseronokan dalam permainan mereka," katanya kepada Utusan
Malaysia di sini, semalam.
Abdul Ghani juga mahukan
pemain-pemain tersebut beraksi bersama pasukan yang baik bagi memastikan
prestasi mereka terus meningkat, selain dapat menonjolkan diri pada masa depan.
Jelasnya, beraksi dengan sebuah
pasukan baik akan membantu mereka untuk memikat hati jurulatih kebangsaan dan
terus kekal dalam skuad yang ada ketika ini.
Selain itu, beliau juga berharap
semua pemain skuad tersebut dapat mengekalkan kecergasan dan prestasi sempurna.
"Saya tahu bahawa
mengekalkan prestasi bukan perkara mudah. Oleh itu, perkara tersebut perlu
diberi keutamaan oleh pemain.
"Zaman saya dulu tidak ada
masa untuk berfoya-foya dan berseronok di sana sini. Malah, kami ketika itu
sentiasa mengekalkan kecergasan dengan mengamalkan tidur awal.
"Selain itu, semangat juang
untuk negara sentiasa tinggi dan tidak pernah luntur. Kami bermain dan berjuang
secara berpasukan," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani turut
menyokong tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melakukan larangan
menggunakan pemain import.
Jelasnya, kehadiran pemain import
akan mengurangkan peluang pemain tempatan untuk menyerlah.
Sebagai contoh katanya, pasukan
lebih gemar menggunakan penyerang import berbanding anak tempatan. Ia sekali
gus menyekat peluang pemain tempatan untuk beraksi.
"Selain itu, gaji yang mahal
juga terpaksa dibayar kepada pemain import. Jumlah tersebut sebenarnya boleh
dibayar kepada tiga atau empat orang pemain tempatan," katanya.
Sementara itu, bekas pemain
Malaysia di Sukan SEA 1989, Razip Ismail berkata, pasukan sedia ada ini
mempunyai keserasian dan boleh melangkah lebih jauh.
Namun begitu, katanya, perjalanan
sebenar skuad tersebut masih jauh dan masih tidak boleh berpuas hati dengan
pencapaian yang baru diterima kelmarin.
"Malaysia sudah lama tidak
mencapai kemenangan dalam satu-satu pertandingan dan kejayaan membawa pulang
emas di Laos adalah satu kebanggaan.
"Meskipun begitu,
pemain-pemain tidak boleh terleka dan berpuas hati setakat itu sahaja dengan
pingat emas yang diperoleh di Sukan SEA tersebut.
"Mereka masih mempunyai misi
yang lebih besar iaitu mencuba ke Sukan Asia sebagai contoh. Pemain-pemain
skuad tersebut masih muda dan mempunyai banyak peluang di masa depan,"
katanya yang kini merupakan jurulatih skuad Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, bekas pemain
ternama negara, Datuk Soh Chin Aun berkata, pencapaian skuad bawah 23 tahun
adalah satu pencapaian baik dan mengakhiri kemarau pingat emas di peringkat
antarabangsa.
Katanya, keputusan tersebut
membayangkan sukan bola sepak Malaysia boleh terus berkembang baik dan kembali
mendapat sokongan rakyat.
"Ia satu perkembangan
positif kepada sukan bola sepak negara. Selepas mencatat kemenangan berharga di
Laos, ia bakal memberi keyakinan semula rakyat kepada sukan ini," katanya
tanpa mahu mengulas lanjut mengenai masa depan pasukan bimbingan Rajagobal
tersebut.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5YhdW3VAY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan