ARKIB : 05/01/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Pasukan bola sepak negara semakin
mendapat perhatian untuk terus cemerlang selepas memenangi pingat emas pada
Sukan SEA XXV di Laos, baru-baru ini. Terbaru, skuad B-23 ini akan menyertai
liga bola sepak di Eropah.
KUALA LUMPUR - Kementerian Belia
dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk
menghantar 30 pemain skuad Bawah 23 tahun negara beraksi dengan kelab-kelab
terkemuka Eropah.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Ahmad Shabery Cheek berkata, pendedahan di luar negara itu merupakan jalan
terbaik untuk mengekalkan kecemerlangan skuad yang memenangi pingat emas pada
Sukan SEA XXV di Laos, baru-baru ini.
Untuk itu, katanya, beliau akan
ke England minggu depan sebagai destinasi pertama dalam mencari kelab yang
sesuai dan berminat untuk berlatih dengan skuad negara.
Sambil merahsiakan nama-nama
kelab terbabit, Shabery berkata, beliau juga akan ke beberapa negara Eropah,
selain dari England.
''Apabila pulang nanti dari sana
nanti, barulah saya akan umumkan bentuk kerjasama yang kita boleh jalinkan
dengan kelab-kelab berkenaan.''
''Mungkin kita akan bahagikan
para pemain ini kepada beberapa kelab, tidak semestinya mereka akan tertumpu
dengan satu kelab sahaja.
''Saya akan membawa perancangan
ini ke Kabinet. Usaha ini amat penting demi pembangunan jangka panjang bola
sepak negara,'' katanya.
Sebelum ini, cadangan Ahmad
Shabery supaya pemain skuad bola sepak Bawah 23 tidak mewakli pasukan negeri
atau kelab sukar, didakwa sukar untuk dilaksanakan.
Ia disebabkan faktor kewangan
yang dihadapi oleh FAM serta masalah teknikal yang bakal berlaku jika cadangan
tersebut dilaksanakan.
Ahmad Shabery berkata, beliau
menyedari kekangan yang akan dihadapi oleh FAM dalam memenuhi komitmen itu,
kerana kebanyakan pemain terikat dengan kontrak bersama pasukan negeri
masing-masing, di samping masalah kewangan untuk menghantar pemain ke luar
negara.
''Saya akan berbincang dengan FAM
serta pasukan negeri yang terlibat untuk melepaskan pemain mereka sepanjang
tempoh pemain yang terpilih untuk ke luar negara, juga membantu daripada segi
kewangan,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa
sidang media mengenai skuad Bawah 23 negara selepas mengadakan perbincangan
dengan FAM mengenai hala tuju bola sepak negara di Majlis Sukan Negara (MSN),
semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden
FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN),
Datuk Zolkples Embong dan Setiuasaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.
Ditanya jika ada pasukan negeri
enggan melepaskan pemain mereka kepada skuad kebangsaan, Shabery menegaskan,
mereka tiada pilihan lain, selain mengutamakan kepentingan negara.
''Namun, ruang untuk perbincangan
tentang masalah itu tetap ada, kita bersedia berunding dalam memenuhi tuntutan
mereka terutamanya pembabitan kontrak,'' jelasnya.
Beliau optimis sambutan orang
ramai terhadap Liga Super 2010 tidak terjejas teruk hanya kerana tiada
penyertaan beberapa pemain kebangsaan dalam skuad negeri.
''Kita hanya mengambil dalam satu
atau dua sahaja pemain, paling maksimum mungkin empat pemain dari satu pasukan,
saya tidak fikir ia akan memberi kesan teruk kepada semua pasukan negeri,''
katanya.
Selain itu, Shabery juga berkata
merancang mewujudkan program pendedahan kepada jurulatih untuk ke luar negara
pada masa akan datang.
''Kita tidak mahu sekadar
jurulatih kita hanya tahu sekadar melatih, namun turut dibimbing dengan ilmu
membaca serta menganalisis permainan bola sepak,'' katanya
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YisutQwL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan