Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
MENTERI Penerangan, Komunikasi
dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyaksikan ketua pasukan kebangsaan,
Zaquan Adha Abd. Razak menyerahkan bola kepada pemain bawah 12 tahun KL, Mohd.
Aqil Ariffien semasa majlis perasmian Program Sukan RTM Sorakan Gema
Cahaya-Sukan Terbaik Hanya Di RTM di Dataran Merdeka, semalam.
MINGGUAN/Asmaruddin Jamaluddin
KUALA LUMPUR Cadangan
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menghalang pemain skuad bola sepak
Bawah 23 negara yang memenangi emas di Sukan SEA Laos untuk tidak bermain
dengan pasukan negeri atau kelab sukar untuk dilaksanakan.
Ia disebabkan faktor kewangan
yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta masalah teknikal
yang bakal berlaku jika cadangan tersebut hendak dilaksanakan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Azzuddin Ahmad berkata, masalah kewangan adalah perkara utama yang bakal
membantutkan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk
melihat pemain skuad emas itu tidak mewakili mana-mana pasukan dalam Liga
Malaysia.
Katanya, kos beraksi di luar
negara adalah tinggi dan FAM juga perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu
daripada mana-mana negara yang ingin membenarkan skuad tersebut beraksi dalam
liga mereka.
Selain itu katanya, ia juga bakal
menimbulkan masalah teknikal apabila melibatkan kontrak pemain dengan pasukan
mereka ketika ini dan perkara tersebut perlu mendapat kelulusan daripada ahli
gabungan FAM.
FAM menyambut baik cadangan
Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya pemain skuad Bawah 23 negara tidak bermain
dengan mana-mana persatuan negeri atau kelab.
Ia jelas menunjukkan KBS mahu
memberi perhatian serius kepada sukan bola sepak negara dan melihat sukan
kesayangan rakyat negara ini terus maju di peringkat antarabangsa.
Namun, cadangan tersebut bakal
menimbulkan beberapa isu teknikal yang perlu diatasi oleh FAM dan ahli
gabungan, terutama dari segi kontrak, gaji, kebajikan pemain dan jurulatih.
Faktor kewangan FAM juga perlu
diambil kira kerana ia bakal melibatkan dana yang besar untuk membawa skuad
emas ini beraksi di luar negara.
FAM kini menanggung tiga buah
pasukan secara langsung iaitu skuad Bawah 23, Harimau Muda A dan Harimau Muda
B.
Oleh yang demikian, bagi
menjayakan hasrat Menteri Belia dan Sukan, FAM perlu mendapat sokongan penuh
daripada KBS serta ahli gabungan FAM, katanya pada sidang akhbar selepas
majlis makan tengahari bagi meraikan kejayaan skuad bimbingan K. Rajagobal di
Restoran Salero Negori, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Azzuddin
berkata, hanya beberapa pemain skuad Bawah 23 yang di bawah kontrak FAM,
manakala selebihnya terikat dengan persatuan negeri dan kelab.
Katanya, perkara tersebut
menyentuh polisi peraturan perlembagaan FAM dan ia perlu mendapat persetujuan
daripada ahli gabungan.
Sehubungan itu katanya, dia tidak
boleh memberi kata putus berhubung cadangan Menteri Belia dan Sukan tersebut,
sebaliknya akan mengemukakan cadangan dinamik tersebut kepada Presiden FAM,
Sultan Ahmad Shah dan kemudiannya dibawa ke mesyuarat Exco.
Katanya, FAM perlu mendengar
pendirian ahli gabungan berhubung perkara tersebut dan badan pengurusan bola
sepak negara itu juga perlu mendapat kelulusan daripada pihak tersebut.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YihnADsg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan