Selasa, 4 Disember 2018

3 pemain skuad emas tidak ke Dubai


ARKIB : 04/01/2010
PETALING JAYA - Tiga pemain skuad bola sepak Bawah 23 tahun negara yang merangkul pingat emas pada Sukan SEA XXV bulan lalu terpaksa diketepikan untuk perlawanan terakhir Malaysia pada kempen Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE), Rabu ini.

Di mata jurulatih negara, K. Rajagopal, Sabre Mat Abu, Mazlizam Mohamad dan Manaf Mamat terpaksa melupakan perlawanan Kumpulan C di Stadium Al Shabab Dubai.

Pelatih lain yang tidak tersenarai ke Dubai termasuk Ahmad Shakir Ali serta pemain tengah senior, Amri Yahyah kerana kecederaan lutut.

"Norhafiz Zamani Misbah dilantik mengetuai skuad negara menentang UAE. Perlawanan di Dubai saya sifatkan sebagai peluang terbaik untuk menentang lawan antarabangsa yang lebih kuat dan tinggi ranking," katanya selepas majlis penghargaan meraikan pasukan bola sepak Sukan SEA XXV di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

"Tiada jurulatih yang mahu pasukannya kalah dalam apa juga perlawanan dan pesanan saya kepada pemain, hadapilah UAE dengan keyakinan, jangan takut dan terimalah hakikat apa juga keputusan yang menanti di sana," katanya merujuk kedudukan tercorot anak buahnya dalam Kumpulan C, di belakang Uzbekistan dan UAE dalam saingan kelayakan Piala Asia.

Para majlis itu, turut berlangsung penyerahan ganjaran RM31,000 oleh FAM kepada setiap pemain yang mengakhiri kemarau 20 tahun emas bola sepak Sukan SEA di Laos, baru-baru ini.

Lapan jurulatih, penolong dan petugas sokongan, masing-masing menerima tidak kurang RM24,000.

Malaysia yang sebelum ini dibimbing oleh B. Sathianathan, dibelasah 5-0 oleh UAE pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur awal tahun lalu.
ArtikelPenuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5YiqpIiOe
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan