ARKIB : 07/10/2009
KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Muda
muncul naib juara Kejohanan Empat Negara di Laos selepas mengikat pasukan tuan
rumah Sukan SEA XXV itu 1-1 pada perlawanan terakhir di Vientiene, semalam.
Walaupun memiliki sama lima mata
dengan Laos, hasil satu kemenangan dan dua kali seri, Harimau Muda terpaksa
akur sebagai naib juara selepas hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.
Laos muncul juara menerusi
perbezaan gol, di mana mereka terikat sama enam jaringan dengan skuad
kebangsaan tetapi hanya tiga kali dibolosi berbanding empat gol yang dilepaskan
oleh Harimau Muda.
Kedudukan naib juara itu masih
merupakan pencapaian membanggakan apabila Harimau Muda berjaya mengekang
pasukan tuan rumah yang turun dengan skuad utama untuk Sukan SEA nanti, iaitu
pasukan Bawah 23.
Persembahan anak buah Ong Kim
wajar dipuji kerana tetap memberikan aksi kemas dan bertenaga walaupun beraksi
di depan lebih 20,000 penyokong tuan rumah
Perbezaan fizikal jelas memihak
kepada Laos yang mendapat pendedahan luas serta beberapa pemain mereka beraksi
di liga Thailand, namun adalah jelas ia tidak sedikitpun menerbitkan rasa gerun
di kalangan pemain muda negara.
Tentangan yang diberikan di sepanjang
perlawanan menyebabkan pasukan tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit
ke-80 untuk mendapatkan gol, itu pun akibat sedikit kealpaan barisan pertahanan
skuad negara.
Namun, skuad Harimau Muda tidak
menunggu lama untuk mempamerkan 'belang' mereka apabila dua minit kemudian
berjaya menjaringkan gol penyamaan.
Ia bermula hasil sepakan bebas
yang dilakukan oleh K. Gurusamy dari sebelah kanan pintu gol Laos dan ketua
pasukan, Mohd. Muslim Ahmad melonjak tinggi menanduk kemas bola yang menggegar
gawang.
Secara keseluruhan, pencapaian
skuad muda negara kejohanan pra Sukan SEA tetap membanggakan kerana berjaya
mempertahankan rekod tanpa kalah di sepanjang kejohanan tersebut.
Selepas seri 2-2 dengan Thailand
dalam perlawanan pertama, Harimau Muda cemerlang mengalahkan Vietnam 3-1 dalam
perlawanan kedua, membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan penentuan juara
dengan Laos.
Laos juga seri 2-2 dalam
perlawanan pembukaan dengan Vietnam sebelum menang selesa ke atas Thailand 3-0
dalam perlawanan kedua mereka.
Sementara itu, Thailand muncul
pemenang tempat ketiga manakala Vietnam di tempat keempat.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YaItD1VU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan