ARKIB : 16/11/2009
KUALA LUMPUR - K. Rajagobal
tampak membuat pemilihan yang tepat dalam menurunkan majoriti pemain bawah 23
tahun sehingga mengekang Uzbekistan tanpa jaringan pada babak pertama biarpun
akur dengan kekalahan 1-3 dalam kelayakan Piala Asia 2011 di Tashkent,
kelmarin.
Sentiasa menyatakan mahu
menumpukan Sukan SEA Laos, bulan depan, jurulatih negara ini mempunyai alasan
yang cukup kuat sekarang untuk terus meniadakan tempat buat Fauzie Nan, V.
Thirumurugan, Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Hardi Jaafar dan Hairuddin
Omar.
Aksi kemas anak buahnya yang cuma
ditemani dua pemain senior, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd. Amri Yahyah berhak
dipuji apatah lagi dengan kemampuan Zaquan Adha Radzak menjaringkan gol tunggal
yang gagal dilakukan dalam tiga pertemuan dengan pasukan Asia Tengah itu sejak
1994.
Malah, satu bonus buat skuad
negara jika mampu mengekang dan mencuri satu mata dari Uzbekistan di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini sambil mengejutkan satu lagi lawan, Emiriyiah
Arab Bersatu (UAE) pada Januari depan.
Empat mata daripada baki dua perlawanan
Kumpulan C bola sepak Kelayakan Piala Asia 2011 sambil mengharapkan anak buah
Mirdjalal Kasimov ini membenam UAE lagi di Tashkent, Mac depan sudah memadai
sebagai tiket ke pusingan akhir di Qatar.
Selain tiga mata di Stadium JAR
kelmarin, Uzbekistan menerajui kumpulan ini selepas turut menewaskan UAE 1-0 di
Dubai, Januari lau - seminggu selepas pasukan Asia Barat itu membelasah
Malaysia yang ketika itu dibimbing B. Sathianathan 5-0 di Kuala Lumpur.
Juara dan naib juara kumpulan
bakal ke Qatar, dua tahun lagi setelah India yang sepatutnya turut ditentang
tiga pasukan ini, layak secara automatik sebagai Juara Piala Cabaran AFC -
persaingan kelas dua untuk negara Asia.
Namun, igauan dibelasah
Uzbekistan 5-0 pada pusingan akhir Piala Asia 2007 di depan penyokong sendiri
di Bukit Jalil, tidak akan mudah luput dari kotak fikiran terutama Norhafiz dan
Aidil Zafuan Radzak yang turut membarisi skuad negara bimbingan Norizan Bakar
ketika itu.
Rajagobal seperti sudah menyedari
corak permainan terlalu bertahan menentang Uzbekistan yang mempunyai kelebihan
fizikal, tidak akan banyak membantu anak buahnya lalu dia bertindak drastik
dengan menggunakan tiga penyerang kelmarin.
Rajagobal perlu berdepan hakikat
bahawa Uzbekistan bakal turun dengan kekuatan penuh menerusi kehadiran
penjaring dua gol kelmarin, Alexander Geynrikh yang didakwa Mirdjalal sebagai
kurang sihat dan cergas untuk bermain selama 90 minit.
Soalnya ialah apakah jurulatih
ini cuma berpuas hati dengan matlamat memberikan pendedahan buat pemain bawah
23 tahun sebagai persediaan ke Sukan SEA Laos, lantas kurang mengambil berat
sisa peluang Malaysia ke Qatar memandangkan dua lawan jelas mempunyai kelebihan
rekod dan ranking serta tahap tinggi permainan pemain mereka.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5Ycq4lyCG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan