Isnin, 10 Disember 2018

Harimau Malaya tidak boleh sia-siakan peluang

10 Disember 2018 9:10 AM
 ZAQUAN
 ZAQUAN
KAPTEN skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd. Radzak optimis pasukannya tidak akan lagi mensia-siakan peluang keemasan ketika melayan kunjungan Vietnam pada dalam aksi final pertama Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam esok.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe umpama ‘mati akal’ apabila seri tanpa jaringan ketika menentang Thailand pada aksi separuh akhir pertama di ge­langgang keramat negara itu awal bulan ini.


Namun, nasib menyebelahi skuad Harimau Malaya me­langkah ke pentas final buat kali keempat dengan kelebihan gol tempat lawan selepas mengikat juara bertahan itu 2-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok minggu lalu.

Susulan itu, Zaquan berharap barisan pemain memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diperoleh terutama de­ngan sokongan padu 80,000 penyokong sendiri di stadium terbesar negara nanti.

“Saya akui bermain di laman sendiri memberi kelebihan untuk mana-mana pasukan tetapi jika pasukan gagal menjaringkan gol, ia tetap tidak memberi sebarang bekalan baik buat skuad negara.

“Namun, keputusan tersebut akan dianggap sebagai positif andai skuad negara mampu menyekat pasukan lawan daripada menjaringkan sebarang gol.

“Saya anggap pengalaman separuh akhir menentang Thailand sebelum ini dapat diulangi dengan situasi berbeza iaitu dengan bekalan gol,” katanya yang sudah meledak tiga gol pada kejohanan ini.

Ini merupakan kali pertama pemain berusia 31 tahun itu ber­aksi di pentas final Piala AFF Suzuki selepas tiga penampilan mewakili negara pada edisi 2008 dan 2016.
SUMBER-KOSMO ONLINE 10 Disember 2018 9:10 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan