Selasa, 4 Disember 2018

Esok kita tunjuk dalam padang - Zaquan

Selasa, 4 Disember 2018 | 9:35pm
Esok kita tunjuk dalam padang - Zaquan
Daripada Aziman Rosdi di Bangkok danThailand
BANGKOK: "Esok kami tunjuk dalam padang!"

Itu reaksi balas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Radzak selepas penjaga gol Thailand Chatchai Budprom seperti memperlekehkan kemampuan mereka menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala AFF 2018.

Menurut penyerang kebangsaan itu, dia dan semua pemain tidak akan terpengaruh dengan permainan psikologi skuad Gajah Perang itu yang dilihat akan lebih tertekan pada aksi di Stadium Nasional Rajamangala  nanti.

“Untuk saya apapun yang mereka cakap kita tak ambil pusing, yang penting kita tahu pasukan kita bersiap sedia dari segi fizikal dan mental, mungkin apa yang dia cakap itu sekadar psikologi.

“Kita ambil benda yang positif, kita lawan semula apa yang dia cakap jadi jawapan dia, esok malam kita tunjuk dalam padang,” katanya ketika ditemui Sukan NSTP hari ini.

Dalam sidang media praperlawanan hari ini, Chatchai menasihatkan pemain Malaysia agar tidur lena malam ini kerana esok mereka bakal mengalami mimpi ngeri.

Selepas aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu berkesudahan seri 0-0, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tiada jalan lain selain memburu gol untuk layak ke final.

Bagi Zaquan, meskipun rekod Malaysia menentang Gajah Perang di Bangkok tidak memberangsangkan apabila tidak pernah menang sejak 2004 dan gagal menghasilkan gol pada lima perlawanan terakhir, dia tetap percaya peluang mereka membuat kejutan tetap ada.

“Mungkin esok mereka akan jaringkan gol, kita juga akan jaringkan gol, tapi tekanan lebih kepada mereka. Kita akan cuba sehabis baik untuk bermain, kita tahu di Kuala Lumpur mereka lebih bertahan, di sini selagi mampu kita menyerang kita akan menyerang, kita tahu mereka juga takut dengan cara permainan kita.

“Yang penting semangat dan keyakinan kita.Mana tahu rezeki kita kali ini di Bangkok, insya-Allah saya yakin pemain akan berikan aksi terbaik,” katanya
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 4 Disember 2018 | 9:35pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan