Ahad, 9 Disember 2018

5 sebab Malaysia mampu tewaskan Thailand


MyMetroArena
Wartawan NSTP
LIMA sebab Malaysia boleh menang ke atas Thailand pada separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Rajamangala, malam ini.

1. Mohamadou Sumareh jadi 'X-faktor'

Kehadiran Mohamadou Sumareh yang menjadi 'X-faktor' kepada kekuatan Harimau Malaya.

Justeru, kembalinya Sumareh selepas disahkan bebas daripada kecederaan pastinya akan melonjakkan semangat rakan sepasukan.

Kemampuan pemain naturalisasi itu melakukan larian deras dari sebelah kanan hingga mengucar kacirkan benteng pertahanan Thailand sekali lagi ditagih untuk memburu gol.

2. Kelebihan selaku pasukan pelawat

Dengan menggunakan peraturan gol di tempat lawan, skuad negara kini memiliki sedikit kelebihan selaku pasukan pelawat dengan hanya memerlukan keputusan seri sekurang-kurangnya 1-1 untuk mengesahkan tiket ke final.

3. ‘Magis’ Tan Cheng Hoe

Faktor magis Tan Cheng Hoe akan membantu skuad negara kerana jurulatih itu cukup bijak menyusun strategi mengikut kekuatan dan kelemahan pasukan lawan.

Sudah tentu aksi pertama di Bukit Jalil tempoh hari sudah dianalisa bagi memerangkap Thailand yang dijangka mengamalkan corak permainan menyerang dengan Malaysia mengharapkan serangan balas.

4. Prestasi Norshahrul Idlan Talaha

Selain nilai 'X-faktor' yang ada pada Sumareh, prestasi penjaring terbanyak negara, Norshahrul Idlan Talaha yang meledak empat gol dalam kempen kali ini tidak harus dipandang sepi kerana dia mampu mengubah keputusan perlawanan.

Malah,  pengalamannya beraksi dalam tiga kempen Piala AFF termasuk dua kali mara ke final pada 2010 (juara) dan 2014 (naib juara) bakal menjadi aset berguna di Bangkok malam ini.

5. Penyokong Harimau Malaya

Dijangka kehadiran lebih 2,000 penyokong Harimau Malaya di Bangkok akan menaikkan semangat pemain negara yang sememangnya mengharapkan sokongan padu penyokong terutama Ultras Malaya.



Sementara itu, berikut adalah lima sebab Thailand boleh tewas kepada Malaysia dalam separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Rajamangala, malam ini.

1. Tekanan juara bertahan

Status selaku juara bertahan dua kali berturut-turut 2014 dan 2016 sudah pastinya mahu dipertahankan skuad Gajah Perang dan senario ini akan memberi tekanan kepada pemain tuan rumah ketika Malaysia 'nothing to lose'.

2. Thailand pasukan tuan rumah

Selepas seri tanpa jaringan di separuh akhir pertama, Thailand tidak boleh melepaskan sebarang gol kepada Malaysia yang tampil sebagai pasukan pelawat dengan peraturan gol di tempat lawan akan diambil kira.

Situasi itu bakal menambah tekanan khususnya benteng pertahanan tuan rumah yang perlu mengawasi empat pemain lincah negara diketuai Mohamad Zaquan Adha, Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid dan Norshahrul Idlan Talaha.

3. Tiada lagi ‘tiki-taka'

Thailand tidak sehebat ketika skuad itu dibimbing Kiatisuk Senamuang yang mengamalkan corak permainan terbuka 'ala tiki-taka' berbanding pengendali sekarang, Milovan Rajevac apabila menerapkan permainan tertutup serta agresif yang mudah dibaca pasukan lawan.

4. Tiga bintang Thailand tak dapat pelepasan kelab

Tanpa kelibat tiga pemain bertaraf bintang seperti Chanathip Songkrasin dan Teerasil Dangda yang beraksi di Liga Jepun serta penjaga gol, Kawin Thamsatchanan yang kini beraksi bersama kelab OH Leuven di Belgium, kekuatan tuan rumah sedikit terjejas.

Mereka bertiga tidak dapat beraksi selepas gagal mendapatkan pelepasan kelab masing-masing dan ini kesempatan terbaik untuk Harimau Malaya menumbangkan Gajah Perang.

5. Penyerang Malaysia lebih pantas

Pertahanan Thailand tidak sepantas penyerang Malaysia dan bakal memberi kesukaran kepada mereka untuk menyekat larian pemain Malaysia.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 6:01 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan