Selasa, 4 Disember 2018

Bola: Jangan terlalu selesa, kata Azzuddin


ARKIB : 23/12/2009
KUALA LUMPUR - Walaupun berjaya menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas pada Sukan SEA, pemain-pemain skuad bawah 23 kebangsaan diingatkan supaya tidak terlalu selesa akan kejayaan itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, situasi sedemikian harus dielakkan jika mereka mahu terus mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa.

"Saya telah berbincang dengan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal kelmarin dan bagi memastikan pemain-pemain terus konsisten, setiap bulan akan ada latihan pusat walaupun semasa Liga Malaysia berlangsung," katanya ketika ditemui pemberita di Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 semalam.

Azzuddin berkata, FAM kini menyasarkan untuk terus cemerlang dan membaiki pencapaian pada saingan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang dijangka Disember tahun depan, selain Sukan Asia pada 2014.

Mengenai kesan kemenangan emas pada Sukan SEA itu, Azzuddin berkata, bola sepak Malaysia kini telah diiktiraf kerana sebelum ini lebih kepada sudut yang negatif.

"Kita berasa lega kerana pencapaian memenangi emas telah mendapat penghargaan yang positif dan kita tidak akan sesekali menghampakan penyokong-penyokong lagi. Kita akan berusaha lebih keras," katanya.

Sementara itu mengenai ganjaran kepada para pemain, Azzuddin berkata, bentuk "ganjaran istimewa" itu telah pun diputuskan.

"Cuma saya perlu mempersembahkan perkara ini kepada Sultan Ahmad Shah (Presiden FAM) yang kini berada di luar negara untuk diperkenan sebelum satu pengumuman rasmi dibuat," katanya.

Pada Sukan SEA Laos yang berakhir minggu lepas, skuad bawah 23 kebangsaan berjaya menewaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir sekali gus mengakhiri penantian 20 tahun sejak 1989 untuk meraih emas.

Selain itu, Azzuddin turut menghargai usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menubuhkan Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara yang akan beroperasi mulai tahun depan.

"Dana yang banyak berjumlah antara RM60 hingga RM70 juta dalam tabung berkenaan pastinya akan digunakan untuk pembangunan," katanya. - BERNAMA
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5YhqIekuH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan