Selasa, 4 Disember 2018

Kena bijak jerat Gajah Perang

MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Rangkaian penyerang skuad Harimau Malaya perlu bijak mengeksplotasi kelemahan pertahanan pasukan Thailand yang dilihat kurang pantas apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Rajamangala, malam esok.

Pandangan itu dikongsikan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh selepas menyaksikan aksi pertama separuh akhir di Bukit Jalil dan beranggapan tonggak pertahanan Thailand tidak sepantas penyerang negara yang boleh dijadikan 'modal' untuk memerangkap pasukan tuan rumah.

Jelasnya, kepantasan trio negara, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh dilihat sering kali mematikan langkah pertahanan lawan namun ketumpulan penyudah sedikit mengecewakan hingga menyebabkan anak buah Tan Cheng Hoe terikat 0-0 sebelum ini.

"Aksi kedua di Bangkok mempunyai suasana lain dan  kali ini kita perlu bijak dan beraksi sebagai pasukan pelawat.

"Kita harus sedar pertahanan Thailand tidak pantas dan kita harus "menjemput" mereka mara sehingga ke  tengah padang untuk mengeksploitasi kelemahan mereka," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Malaysia yang bertandang ke Bangkok hanya memerlukan keputusan seri 1-1 untuk mengesahkan tempat ke final selepas kali terakhir mara pada 2014 sebelum tewas dengan agregat 4-3 di tangan Thailand.

Bagaimanapun, rekod skuad Gajah Perang di laman sendiri tampak gah apabila sudah mengumpul 14 gol pada kempen kali ini yang harus dipandang serius oleh Cheng Hoe.

"Jangan membuat kesilapan seperti menentang Vietnam di peringkat kumpulan (Kumpulan A) yang mana statistik menunjukkan kita menguasai permainan tetapi akhir tewas 2-0.

"Jadi biarlah permainan tak 'cantik', tetapi kita boleh menjaringkan gol untuk ke final," katanya.

Skuad negara mara ke kelompok empat terbaik selepas muncul naib juara kumpulan di belakang Vietnam yang kini berkelebihan ke final selepas menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Manila, Ahad lalu.



SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 3:26 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan