Isnin, 17 Disember 2018

Safawi pemain terbaik negara

MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Sekalipun bintang muda negara, Safawi Rasid dilihat tidak begitu menyerlah pada kempen Piala AFF 2018, pemain berusia 21 tahun itu tetap dianggap sebagai pemain terbaik negara pada kejohanan yang sudah melabuhkan tirainya, kelmarin.

Pandangan itu dilontarkan Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim yang mengakui penggempur Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mampu menjadi tonggak buat pasukan negara jika terus diberi peluang mewakili negara pada pentas antarabangsa selepas ini.

"Dia begitu sesuai dengan sistem permainan yang diterapkan jurulatih Tan Cheng Hoe dan nampak dia berjaya menyesuaikan diri dengan mengikut kehendak dimahukan Cheng Hoe.

"Jika dinilai secara keseluruhan, dia masih lagi muda dan wajar diberikan lebih banyak lagi minit perlawanan. Dengan kombinasinya bersama beberapa pemain senior, saya yakin dia mampu meningkatkan lagi prestasinya," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.


Prestasi anak kelahiran Dungun itu dipersoalkan apabila sekadar mampu menyumbat satu gol sepanjang kempen Piala AFF 2018 iaitu ketika meledak jaringan penyamaan menerusi sepakan percuma lencong pada aksi final pertama bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berkesudahan dengan 2-2.

Bagaimanapun, penampilan pertamanya pada saingan Piala AFF 2018 perlu dijadikan pertimbangan meskipun dia seharusnya boleh memberikan lebih impak pada skuad kebangsaan bagi kempen kali ini.

Mengulas lanjut prestasi anak buah Cheng Hoe pada kejohanan dwitahunan itu, Zulakbal yang juga Jurutunjuk Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyifatkan beberapa kelemahan yang dimiliki skuad negara menyebabkan mereka terpaksa kempunan terlepas gelaran 'Raja Asia Tenggara' kepada Vietnam.

"Bahagian tengah adalah bahagian paling kurang efektif sama ada ketika serangan mahupun bertahan selain barisan pertahanan yang kadang kala berdepan dengan situasi melakukan kesilapan mudah sehingga menghadiahkan gol kepada lawan.

"Transisi daripada menyerang kepada bertahan dan sebaliknya juga kurang teratur. Ini mungkin berpunca daripada aspek fizikal di mana secara zahirnya, Malaysia tidak kurang dari aspek taktikal dan psikologi.

"Namun apabila berhadapan dengan lawan yang lebih baik dari segi daya tahan, kelajuan, ketangkasan serta kuasa, ia menjejaskan aplikasi keupayaan teknikal ketika tempo permainan pada tahap tertinggi," katanya.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 2:06 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan