Isnin, 3 Disember 2018

Malaysia bakal diturunkan 'pangkat'


ARKIB : 20/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kesan buruk lebih besar menanti Malaysia ekoran pencapaian tercorot tanpa mata anak buah K. Rajagobal dalam aksi Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 yang turut hampir menutup pintunya ke pusingan akhir di Qatar.

Selepas dikalahkan Uzbekistan 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin, ada kemungkinan skuad negara akan diturunkan pangkat ke persaingan bahagian dua, Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) - Piala Cabaran dengan menentang 'negara membangun dalam sukan itu'.

Namun di sebalik kena bermain dengan Myanmar, Kemboja, Laos, Brunei, Tajikistan, Turkmenistan atau Pakistan, peluang Malaysia lebih cerah untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2014 jika menjuarai Piala Cabaran seperti mana yang dicapai India dan mara secara automatik serta tidak perlu menyertai Kumpulan C.

Jika dibandingkan dengan pencapaian kelima-lima kumpulan kelayakan, Malaysia dan Hong Kong yang masing-masing dibolosi sembilan dan 13 gol, pasti akan dikenakan hukuman atas prestasi hambar itu selaku dua pasukan tercorot.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mengakui betapa kemungkinan itu bakal menanti skuad negara tetapi akur dengan keputusan itu memandangkan majoriti pemain yang beraksi adalah di bawah 23 tahun dalam mengharungi baki Kelayakan Piala Asia ini.

"Ya, saya menyedari kemungkinan Malaysia diturunkan ke Piala Cabaran AFC beberapa tahun lagi ekoran pencapaian dalam kelayakan itu tetapi kita perlu bersikap realistik dengan pemain yang dimiliki jurulatih negara dan sasaran kami sebenarnya hanyalah mahu meningkat daripada Sukan SEA terlebih dulu.

"Sebuah pasukan yang muda seperti itu, masih memerlukan masa untuk menghasilkan sesuatu dan biarlah mereka meningkat satu persatu khususnya bermula dengan Sukan SEA (di Laos, bulan depan)," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Rajagobal hanya membariskan tonggak senior - Amri Yahyah dan Norhafiz Zamani Misbah dengan skuad bawah 23 yang turut ditewaskan Uzbekistan 3-1 di Tashkent, Sabtu lalu di mana sebelum ini skuad senior bimbingan bekas jurulatih bola sepak negara, B. Sathianathan dibelasah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 5-0, Januari lalu.

Namun aksi kelmarin ternyata memaparkan kegigihan barisan muda negara antaranya Baddrol Bakhtiar, Safiq Rahim, Farizal Marlias, S. Kunanlan dan Ahmad Shakir Ali dalam menyaingi lawan Asia Tengah yang memiliki kelebihan pada fizikal pemain, ranking dan rekod pencapaian mara ke suku akhir Piala Asia 2007.

Azzuddin turut menyangkal andaian bahawa FAM tidak serius dalam menghadapi Kelayakan Piala Asia 2011 apabila mempertaruhkan pemain yang kurang berpengalaman di peringkat antarabangsa sebaliknya mempertahankan pemilihan mereka yang diputuskan Rajagobal.

"Biarlah kita menerima hakikat bahawa pasukan kita masih lemah sambil tidak boleh terlalu cepat memandang ke depan. Sesuatu kejayaan yang besar tidak akan datang dalam tempoh semalaman.

"Mungkin kita boleh mengimport pemain dan memberikan kerakyatan kepada mereka jika terlalu mahukan kejayaan segera tetapi saya lebih percaya, biarlah orang Malaysia yang membawakan kejayaan pasukan Malaysia," katanya.

Selain layak automatik selaku tuan rumah pusingan akhir Piala Asia 2007 bersama Indonesia, Vietnam dan Thailand, Malaysia hanya pernah melakukannya secara merit menerusi pusingan kelayakan pada 1976 dan 1980.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5YdEfkY1T
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan