WARTAWAN SINAR HARIAN 1 DISEMBER 2018
Penyudah Harimau Malaya tumpul
Aksi Kapten Harimau Malaya, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak (kanan) dan pemain kebangsaan, Mohamed Syamer Kutty Abba (kiri) sewaktu menentang Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - Foto Bernama
DERETAN peluang keemasan yang gagal diterjemahkan dengan jaringan memastikan Harimau Malaya sekadar seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Mendominasikan perlawanan dan memiliki sekurang-kurangnya empat peluang keemasan pada separuh masa pertama dan lima babak kedua menceritakan situasi sebenar jentera serangan tuan rumah yang tumpul.
Mempertaruhkan kesebelasan utama ketika membenam Myanmar, Sabtu lalu, anak didik Tan Cheng Hoe mempamerkan keinginan memburu gol awal apabila terus melakukan serangan selepas wisel perlawanan dibunyikan pengadil perlawanan, Ahmed Abu Bakar Said Al Kaf dari Oman.
Keghairahan Malaysia menyerang jelas kelihatan apabila Safawi Rasid melakukan rembatan dari luar kotak penalti seawal minit ke 4 namun tersasar melepasi palang gol Thailand.
Safawi terus rakus merobek gawang Thailand apabila sekali lagi melakukan rembatan pada minit ke 19 namun dinafikan benteng terakhir pelawat, Chatchai Bootprom.
Harimau Malaya seharusnya berada dihadapan pada minit ke 25 namun Mohamadou Sumareh yang mendapat umpanan cantik dari ketua pasukan, Zaquan Adha dalam kotak penalti merembat liar melepasi palang gol ketika hanya berhadapan dengan Bootprom.
Selang tiga minit kemudian, Sumareh sekali lagi memiliki peluang terhidang hasil serangan balas yang dijanakan Zaquan serta Norshahrul Idlan Talaha, namun pemain naturalisasi negara itu gagal meletakkan bola dalam gawang pelawat.
Corak serangan yang dipamerkan Harimau Malaya berterusan dengan permainan dikuasai penuh tuan rumah namun gagal mengegarkan jarring sehinggalah kedua-dua pasukan beredar memasuki bilik persalinan dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha (kanan) cuba merampas bola dari penjaga gol Thailand Chatchai Bootprom dalam aksi separuh akhir pertama Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. - Foto Bernama
Tanpa sebarang pertukaran , Harimau Malaya terus memberi tekanan kepada Gajah Perang sebaik babak kedua bermula.
Sumareh terus memiliki peluang pada minit 61 namun rembatan lemahnya mudah didakap kemas Bootprom untuk mengecewakan kira-kira 85,000 penyokong Malaysia yang hadir memenuhi stadium.
Menyedari jentera serangan perlu dipertajamkan, Cheng Hoe melalukan pertukaran pertama dengan mengeluarkan Sumareh dan memasukkan Hazwan Bakri pada minit ke 64.
Hantaran pendek Zaquan dengan Mat Yo dalam kotak penalti hampir meletakkan pasukan di hadapan namun gagal disudahkan dengan sempurna Mat Yo.
Harimau Malaya terus membuat pertukaran dengan mengeluarkan Syazwan Andik yang mengalami kecederaan dan menggantikan dengan Nazirul Naim pada minit ke-70 selain kemasukan Shahrel Fikri yang menggantikan Zaquan Adha.
Malaysia terus melakukan serangan bertali arus bagi menembusi gawang pelawat namun usaha tersebut gagal sehinggalah tamat perlawanan.
Malaysia bakal berkunjung di Stadium Rajamangala, Rabu ini untuk aksi timbal balik yang akan menentukan pasukan layak beraksi di pentas akhir
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 1 DISEMBER 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan