Isnin, 3 Disember 2018

Skuad bola sepak B-23 hadapi laluan getir


ARKIB : 10/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Undian getir acara bola sepak lelaki Sukan SEA XXV di Laos, seolah-olah mengulangi nasib pada Piala Suzuki AFF, tahun lalu apabila skuad Bawah-23 negara pula ditemukan dengan dua pencabar handalan, Thailand dan Vietnam dalam Kumpulan A.

Seperti skuad senior di Phuket, anak buah K. Rajagobal menghadapi laluan getir untuk melepasi Thailand selaku juara bertahan dan Vietnam yang menewaskan kita 3-1 pada temasya sama di peringkat kumpulan di Korat, dua tahun lalu.

Malaysia turut digagalkan kedua-dua negara itu, 2-3 dan 0-3 di peringkat kumpulan dalam Piala Suzuki AFF 2008 selain kempunan sebarang pingat Sukan SEA Korat 2007 setelah turut diikat Singapura 1-1 dalam perebutan ke separuh akhir.

Dua lagi lawan Malaysia dalam acara ini yang dijadualkan bermula pada 2 hingga 17 Disember, beberapa hari lebih awal dari tarikh pembukaan rasmi Sukan SEA Laos ialah Timor Leste dan Kemboja.

Piala Suzuki AFF merupakan kejohanan untuk pasukan senior bagi kesemua 11 negara di Asia Tenggara manakala Sukan SEA dijadikan gelanggang buat pemain bawah 23 tahun sejak temasya 2001 di Kuala Lumpur.

Laman web rasmi Sukan SEA Laos menyebut, Kumpulan B pula menempatkan tuan rumah, Myanmar, Singapura dan Indonesia sekali gus menjelaskan bahawa hanya Brunei dan Filipina dari rantau Asia Tenggara yang tidak mengesahkan penyertaan mereka.

Acara bola sepak wanita Sukan SEA XXV pula menampilkan format liga sepusingan yang melibatkan Malaysia, Thailand, Myanmar, Vietnam dan Laos dengan dua pasukan teratas bakal berentap semula pada perlawanan akhir.

Majlis undian beberapa acara berpasukan temasya ini selain bola sepak seperti sepak takraw, badminton, bola tampar, pingpong dan polo air dilangsungkan di Pusat Konvensyen dan Pameran Dagangan Antarabangsa Laos (ITTEC), Vientiane, semalam.

Semua perlawanan bola sepak lelaki dan wanita akan berlangsung di Stadium Utama Kompleks Sukan Stadium Kebangsaan, Stadium Chao Anouvong dan Stadium Bola Sepak Universiti Nasional.

Tujuh tempat latihan bola sepak Sukan SEA ditetapkan di Universiti Nasional Dongdok, Fakulti Bank Negara, Pusat Latihan Bola Sepak, Institut Penyelidikan Bumi, Fakulti Perhutanan, Televisyen Nasional dan Stadium Angkatan Tentera.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas bola sepak lelaki ialah di Kuala Lumpur 2001 manakala Manila 2005 merakamkan sebutir gangsa sementara skuad wanita pernah mencipta kejutan dengan membawa pulang sebutir perak dari Chiangmai 1995.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YcKpqEdS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan