ARKIB : 11/11/2009
Hanya Amri, Norhafiz pilihan
Rajagobal
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
PETALING JAYA - Hanya Amri Yahyah
dan Norhafiz Zamani Misbah menjadi dua pemain senior yang dipanggil membarisi
skuad kebangsaan menghadapi perlawanan bola sepak Kumpulan C Kelayakan Piala
Asia 2011 menentang Uzbekistan, Sabtu dan 18 November ini.
Khidmat ketua pemain Selangor dan
bek tengah KL PLUS itu diperlukan jurulatih negara, K. Rajagobal untuk
membimbing majoriti pemain bawah 23 tahun khususnya di bahagian pertahanan dan
depan dalam perlawanan timbal balik itu di Tashkent dan Stadium Nasional, Bukit
Jalil.
Namun, tiada bersama mereka
berdua seperti skuad Pilihan Malaysia yang menentang Manchester United, Julai
lalu ialah ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin yang turut
menjaringkan gol sagu hati menerusi sepakan percuma pada perlawanan akhir Piala
Malaysia, Sabtu lalu.
Turut dinamakan ialah tiga pemain
Negeri Sembilan, juara Piala Malaysia 2009 - Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha
Radzak dan S. Kunanlan dan agak pelik ialah tiadanya penjaring gol awal yang
bermain cemerlang dalam perlawanan akhir itu, Shahurain Abu Samah.
Dalam senarai yang dikeluarkan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam, Rajagobal dilihat cuba membuat
kejutan dengan meletakkan Amri sebagai penyerang di samping Zaquan, Norshahrul
Idlan Talaha (UPB-MyTeam), Razali Umar Kandasamy (Perak) dan Ahmad Fakri
Saarani (Perlis).
Pemilihan kali ini dianggap
sebagai peluang pendedahan perlawanan sebenar buat skuad bawah 23 tahun yang
bakal menghadapi Sukan SEA Laos, Disember ini setelah peluang Malaysia untuk
melepasi Kelayakan Piala Asia 2011 seperti agak samar sejak dibelasah Emiriyah
Arab Bersatu (UAE) 5-0, Januari lalu.
Kecuali Norhafiz, Aidil, Zaquan
dan penjaga gol Syed Adney Syed Hussein, sebahagian besar pemain senior skuad
berkenaan juga tidak dinamakan semula dalam senarai kali ini antaranya Safee
Sali, Hairuddin Omar, Hardi Jaafar, Syamsuri Mustafa dan pemenang Kasut Emas
Liga Super 2009, Nizaruddin Yusof.
Malah, rekod tiga perlawanan
antarabangsa pada 1994 dan 1999 menyaksikan kita sentiasa dibelasah Uzbekistan
5-0 dan 3-0 selain 5-0 di peringkat Kumpulan C pusingan akhir Piala Asia 2007
di Bukit Jalil sehingga mendorong Timbalan Presiden FAM ketika itu, Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah meletakkan jawatan.
Namun, Setiausaha Agung FAM,
Datuk Azzuddin Ahmad melahirkan keyakinan bahawa anak buah Rajagopal masih
mempunyai peluang ke pusingan akhir biarpun turut berdepan dengan masalah
penyesuaian diri dengan cuaca sejuk di Stadium JAR, Tashkent yang dikatakan
mencapai paras 10 darjah Celsius.
"Mereka bagaimanapun mesti
menang dalam perlawanan ini untuk terus berjuang ke pusingan akhir,"
katanya sambil menambah bahawa tiket perlawanan Malaysia-Uzbekistan di Stadium
Nasional pada pukul 5.30 petang 18 November ini dijual dengan harga RM10 bagi
dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak.
Kelmarin, skuad bawah 23 tahun
ini menunjukkan prestasi membanggakan dengan menewaskan lawan sebaya Indonesia
3-1 dalam satu perlawanan persahabatan di Palembang, Sumatera.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5YcM9vxNa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan