Ahad, 16 Disember 2018

Sharbinee di gawang kekang Yemen?


 
ARKIB : 27/02/2010
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Sharbinee Allawee Ramli (barisan belakang, kanan) mungkin diberi peluang sebagai penjaga gol utama yang akan menjaga gawang Malaysia pada perlawanan menentang Yemen dalam aksi persahabatan hari ini.

KUALA LUMPUR - Ketua pasukan kian pasti milik Norhafiz Zamani Misbah dan gandingan bek tengahnya tentulah Aidil Zafuan Radzak tetapi yang mungkin memeningkan kepala K. Rajagobal ialah siapa penjaga gol utama negara untuk menghadapi Yemen, hari ini.

Antara Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias, masing-masing di tahap prestasi semasa yang menyakinkan dan dianggap tidak akan mengecewakan jurulatih negara itu dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Yang membezakan mereka mungkin konsistensi daripada persaingan tempatan ke pentas antarabangsa.

Lantas jika ini yang perlu dijadikan kriteria penentu oleh Rajagobal, Sharbinee; penjaga gol Terengganu jelas lebih menonjol dan wajar membarisi kesebelasan utama.

Dia telah membuktikannya ketika skuad bawah 23 tahun negara menjuarai Sukan SEA Laos 2009, Disember lalu malah membantu Terengganu mengekori rapat Selangor di tangga kedua Liga Super dan mara ke suku akhir Piala FA setakat ini.

Namun, dilema lain masih menyapa Rajagobal apabila mungkin terpaksa melupakan khidmat Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar dan Safiq Rahim sekiranya mahu menunaikan permintaan jurulatih Selangor, K. Devan bagi menghadapi Pulau Pinang dalam Liga Super, hari yang sama.

Devan selepas perlawanan Piala AFC menentang kelab Becamex Binh Duong, Selasa lalu, membayangkan bahawa khidmat mereka bertiga amat diperlukan di Stadium Negeri, Batu Kawan tetapi hanya sanggup merelakan pemain tengah bertahan, Bunyamin Umar kekal bersama skuad negara.

Agak malang apabila serba sedikit pengalaman antarabangsa menentang kelab Vietnam di Shah Alam itu apatah lagi setelah berdepan tiga pemain import lawan, tidak dapat digunakan semula bagi menentang Yemen yang berada di ranking ke-130 dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Namun, Rajagobal mungkin masih berkompromi dengan ketiadaan mereka memandangkan dia sering menegaskan untuk hanya melihat kemajuan pasukannya secara beransur-ansur tanpa terlalu mementingkan sebarang keputusan perlawanan mahupun peningkatan mendadak ranking ke-159 milik Malaysia.

"Saya tidak mahu memberikan tekanan yang tidak sepatutnya kepada pemain. Lagipun ini perlawanan sulung antarabangsa mereka sejak Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Januari lalu. (Mengenai keputusan malam ini yang mempengaruhi ranking), biarlah kita naik berperingkat-peringkat.

"Saya juga mahu menggunakan perlawanan ini untuk menguji gandingan dan persefahaman lapan muka baru yang dipanggil bagi menghadapi Sukan Asia Guangzhou, November ini. Setiap pemain akan cuba diberi masa dan peluang setara dan secukupnya," katanya.

Malah, dua pemain sayap, Baddrol Bakhtiar dan S. Kunanlan yang didapati tercedera pada hari pertama sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selasa lalu, mungkin memberikan ruang kepada muka baru seperti Yong Kuong Yong dan pemain senior dari Terengganu, Ashari Samsudin mengambil alih tempat mereka.

Di bahagian serangan pula, skuad negara mungkin berharapkan gandingan tetap, Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha Radzak sambil dibantu pemain Perlis, Ahmad Fakri Saarani untuk menggempur Yemen yang di bawah bimbingan jurulatih dari Croatia, Srecko Juricic.

Sebagai rekod, dua pertemuan lalu kedua-dua pasukan menyaksikan masing-masing pernah mencatat kemenangan dengan Malaysia menang 4-1 dalam Kelayakan Piala Asia 1984 di Calcutta manakala Yemen menebusnya 1-0 ketika perlawanan persahabatan di ibu kota pada 1990.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5ZrKvWlfx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan