MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR:
Bekas jurulatih Perak Datuk M Karathu berpendapat pengendali Harimau Malaya Tan
Cheng Hoe perlu berani melakukan rombakan termasuk meletakkan Mohamadou Sumareh
sebagai penyerang.
Beliau
berkata, kekuatan fizikal dan kemahiran yang ada pada pemain naturalisasi dari
Gambia itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya apabila Malaysia turun berdepan
Vietnam pada perlawanan akhir kedua di Hanoi, Sabtu ini.
"Kalau
kita lihat, Sumareh boleh menguasai bola dengan baik, menggelecek pemain lawan
dengan kemahiran dan kepantasannya. Pada saya, lebih baik dia bermain di posisi
Zaquan (Adha Abd Radzak) sebagai penyerang tengah dan bukannya di bahagian
tepi.
"Jika dia
di bahagian tengah akan memudahkannya membuat percubaan. Jika dia bermain di
bahagian tepi, dia hanya boleh melakukan hantaran.
"Memang
kita ada seorang lagi penyerang, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) tapi saya
lihat dia tidak mendapat sokongan rakan sepasukan di bahagian atas," jelas
Karathu ketika dihubungi hari ini.
Skuad
kendalian Tan Cheng Hoe berdepan misi berat di Hanoi selepas hanya mencatat
keputusan seri 2-2 pada pertemuan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil
semalam.
Malaysia juara
2010 memiliki rekod buruk di gelanggang lawan itu apabila tewas 0-2 di
peringkat kumpulan dan bagi bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan,
Cheng Hoe perlu mengukuhkan bahagian pertahanan bagi mengelak situasi sama
berulang.
"Kita bermain
baik dengan mengawal permainan tapi kita kurang bijak untuk masuk ke dalam
kotak penalti Vietnam ketika menyerang. Bila kita 'syok' menyerang, kita
terlupa Vietnam sangat bahaya ketika membuat serangan balas pantas.
"Kita
banyak kali terperangkap dengan hantaran bola Vietnam ke belakang pertahanan
kita. Hantaran pemain Vietnam cukup baik dan mereka memiliki penyerang yang
pantas untuk memintas pemain pertahanan kita, jadi kita perlu lebih
berhati-hati selepas ini.
"Peluang
kita masih ada dan jika kita boleh menjaringkan gol awal, ia akan memberi
tekanan kepada Vietnam nanti," katanya yang membimbing skuad negara muncul
naib juara pada edisi pertama Piala AFF 1996.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 8:23 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan