Isnin, 3 Disember 2018

Ganjaran menanti bola sepak


 
ARKIB : 16/12/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Sultan Ahmad Shah

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah menjanjikan ganjaran yang istimewa atas kejayaan skuad negara mara ke perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA XXV di Laos, kelmarin.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, baginda memberitahunya dalam pertemuan semalam bahawa ganjaran itu berbeza berdasarkan warna pingat milik anak buah K. Rajagobal selepas perlawanan di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, Vientiane itu, esok.

"Sebenarnya, Tuanku bertitah, setiap perlawanan ada ganjarannya dan ia meningkat berdasarkan peringkat pencapaian pasukan kita. Tuanku tidak menyebut bentuk ganjaran itu tetapi ia sesuatu yang istimewa dan berhak diberi memandangkan sudah 20 tahun kita tidak menang emas bola sepak.

"Dalam pertemuan itu, Tuanku turut menyampaikan pesanan supaya pasukan kita tidak hilang fokus, tidak mudah melatah atau membantah sebarang keputusan pengadil yang tidak mungkin diubah dan perlu menerima seadanya.

"Turut Tuanku ingatkan ialah supaya pasukan tidak mudah diprovokasi dengan tindak-tanduk pengadil, pasukan atau penyokong lawan dan semuanya wajar mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk meraih emas," kata Azzuddin di Wisma FAM, Kelana Jaya selepas majlis undian Liga M 2010, semalam.

Azzuddin yang bakal berangkat ke Vientiane, hari ini bagi menyaksikan perlawanan akhir yang dijangka sengit itu, mengakui Vietnam sebuah pasukan yang lebih baik seperti yang dibuktikan lawan dengan menewaskan kita 3-1 dalam perlawanan Kumpulan A, 6 Disember lalu.

"Namun aksi kali ini berbeza. Pasukan kita pun sudah mengambil iktibar daripada perlawanan pertama itu walaupun berlaku beberapa kontroversi. Rajagobal turut memberitahu saya, dia telah mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan pasukan ketika menentang Vietnam lalu," katanya.

Kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir Sukan SEA ialah pada 2001 di Kuala Lumpur tetapi ditewaskan Thailand 1-0, temasya pertama buat pemain bawah 23 tahun sementara ketika memenangi emas di Kuala Lumpur 1989, persaingannya adalah untuk pemain senior.

Skuad bawah 23 tahun kali ini yang mengatasi sebutir gangsa Vietnam 2003 dan Filipina 2005 selain tanpa pingat Korat 2007, mara ke perlawanan akhir dengan membelasah Timor Leste 11-0, Kemboja 4-0 dan Thailand 2-1 selain Laos 3-1 (separuh akhir kelmarin).



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YhE6U5U5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan