Isnin, 3 Disember 2018

Syed Adney terpaksa diketepikan


 

ARKIB : 30/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
K. RAJAGOBAL (kiri) memberi amanat terakhir kepada skuad bola sepak negara pada sesi latihan di Kelana Jaya, semalam. Turut kelihatan, Syed Adney Syed Hussein (dua dari kiri).

PETALING JAYA – Syed Adney Syed Hussein, 23, menerima hadiah hari jadi ‘mengejut’ yang turut membawa berita sedih semalam apabila tidak terpilih dalam skuad 20 pemain bola sepak bawah 23 negara ke Sukan SEA Laos, bulan depan.

Penjaga gol Kelantan bagi musim depan yang menjadi pilihan utama Sukan SEA Korat 2007 itu terpaksa memberi laluan kepada dua pesaingnya, Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias yang lebih memikat jurulatih negara, K. Rajagobal.

Turut tiada untuk menyahut cabaran Kumpulan A yang bermula dengan menentang Timor Leste di Vientiane, Rabu ini ialah dua penyerang, Razali Umar Kandasamy dan Farderin Kadir serta penjaring terbanyak Harimau Muda, Ahmad Shakir Ali.

“Saya perlu beri peluang kepada Sharbinee selepas melihat prestasi semasanya dalam latihan dan menentang Maldives (persahabatan, Khamis lalu). Adney kena mengambilnya secara profesional lagipun dia sudah kerap bermain dalam skuad kebangsaan dan bawah 23.

“Saya tidak akan melupakannya begitu sahaja selepas ini dan dia wajar menjadikannya perangsang untuk beraksi lebih baik,” katanya selepas mengendalikan hari terakhir sesi latihan pasukan di Wisma FAM, Kelana Jaya, sebelum berangkat ke Laos, hari ini.

Mengenai pengguguran Razali, Rajagobal berkata: “Dia mulanya memberitahu tiada pengangkutan untuk datang sini selepas diberi cuti Hari Raya Haji (Jumaat lalu) tetapi sehingga hari ini (semalam), dia masih tidak muncul dan saya hairan.

“Saya tidak boleh bertolak ansur dengan soal disiplin seperti ini walaupun dia mulanya berpeluang cerah untuk dipilih,” katanya yang kecewa dengan sikap penyerang Perak itu yang turut membazirkan banyak peluang gol ketika menentang Maldives di Shah Alam.

Pemilihan semalam kata Rajagobal, turut menamakan bek tengah, Aidil Zafuan Radzak sebagai ketua pasukan di Laos yang juga bakal berdepan juara bertahan, Thailand di samping Vietnam dan Kemboja dalam Kumpulan A.

“Sejak mengenalinya dalam skuad Bawah 20 negara, saya mahu dia fokus dengan tugas itu kali ini malah saya mahu dia bertanggungjawab bukan sahaja kepada saya bahkan pasukan ini dan negara,” katanya.

Bagaimanapun jurulatih itu mengakui dia mengambil masa yang panjang termasuk mendapatkan pandangan pembantunya, Tan Cheng Hoe dan Faozi Mukhlas sebelum menamakan 20 pemain ke Sukan SEA.

Hanya enam pemain daripada skuad Korat 2007 yang kempunan pingat, dipilih semula Rajagobal ke Laos iaitu Aidil dan adik kembarnya, Zaquan Adha Radzak di samping Farizal, Amirulhadi Zainal, Norshahrul Idlan Talaha dan Safiq Rahim

Kata Aidil, 22: “Keserasian pasukan kali ini lebih mantap berbanding skuad 2007 kerana 80 peratus pemainnya daripada skuad Bawah 20 dan sudah saling mengenali. Begitu juga dari segi semangat sepasukan apatah lagi sudah 20 tahun kita tidak menang emas Sukan SEA.

“Tentang pemilihan pemain, ia yang terbaik buat jurulatih dan negara. Kami pemain hanya perlu menjalankan tugas di tengah padang. Saya juga berazam menebus kekecewaan tidak beraksi dua perlawanan di Korat lalu (digantung kerana kad merah Kelayakan Piala Dunia),” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Yfk0I1Ho
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan