ARKIB : 14/12/2009
VIENTIANE - Skuad bola sepak negara terpaksa mengharungi perlawanan separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV menentang Laos hari ini tanpa kelibat penyerang berbisa, Zaquan Adha Abdul Razak.
Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, pemain Negeri Sembilan itu tidak dapat ke Laos kerana masalah mata yang dialaminya masih belum pulih sepenuhnya.
Menurutnya, masalah mata yang dialami oleh Zaquan memang menunjukkan tanda-tanda pulih, tetapi itu tidak bermakna dia dapat diturunkan untuk perlawanan hari ini.
"Mustahil untuk dia menyertai kami menentang Laos esok (hari ini).
"Memang masalah matanya semakin pulih tetapi dia tidak sempat untuk bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan dengan Laos.
"Jika kita berjaya ke final, mungkin dia boleh beraksi," katanya ketika ditemui semalam.
Zaquan mengalami masalah luka mata kiri dan terpaksa pulang ke Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan.
Menurut Rajagobal, dia sentiasa memantau keadaan Zaquan dan jika boleh dia memang mahu pemain itu beraksi hari ini.
"Ini kerana selain Zaquan, kita juga akan beraksi tanpa Amirul Hadi Zainal dan Ahmad Fakri Saarani yang digantung perlawanan.
"Ini bermakna saya terpaksa bergantung harap kepada pemain penyerang yang ada sahaja, saya tidak banyak pilihan," katanya.
Mengenai perlawanan hari ini, Rajagobal berkata, Laos akan turun dengan lebih bersemangat di depan penyokong mereka di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos.
"Kita harus terima hakikat ini tempat mereka. Untuk menghadapi situasi ini, saya meminta pemain supaya hanya fokus pada cara permainan mereka sendiri.
"Memang kita berjaya menumbangkan Thailand, tetapi kemenangan itu tidak bermakna pemain kita sudah berada pada zon selesa.
"Saya tekankan bahawa selepas Thailand, kita ada misi yang lebih penting berdepan Laos.
"Jika mahu menang, saya harap pemain dapat mengekalkan rentak permainan yang konsisten dan jangan memandang rendah keupayaan Laos," katanya.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, kecederaan luka kecil di mata kiri Zaquan masih belum sembuh untuk membenarkannya menyumbang bakti di padang.
"Saya kecewa. Sebelum ini saya berangan beraksi di separuh akhir untuk membawa Malaysia ke final. Kini semuanya lebur.
"Namun, saya tetap berdoa agar rakan-rakan mampu beraksi cemerlang bagi menempah tiket ke perlawanan akhir. Saya sudah maklumkan pada jurulatih, K. Rajagobal dan beliau tenang menerimanya.
"Kini saya cuma perlu menanti sama ada beraksi di final atau penentuan tempat ketiga dan keempat. Sudah tentu final menjadi idaman dan saya yakin rakan sepasukan mampu melakukannya kerana kita membuktikan dapat bermain baik menentang lawan lebih berpengalaman," katanya kepada Utusan Malaysia semalam. - UTUSAN
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5Yh7oReuT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan