Selasa, 18 Disember 2018

Anak buah Rajagobal seri jumpa Albirex


 
ARKIB : 04/03/2010
Daripada Arif Nizam Abdullah
sukan@utusan.com.my
Penyerang Malaysia Sharani Ahmad Fakri (kanan) menggelecek pemain pertahanan Albirex Niigita FC, Mitsuki pada aksi persahabatan di Stadium Pusat Sukan Jurong East, Singapura, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
SINGAPURA - Malaysia masih mempertahankan rekod cemerlang perlawanan antarabangsa selepas mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang Albirex Niigata FC dari Jepun di Kompleks Sukan Jurong East di sini, semalam.

Jurulatih, K. Rajagobal menganggap keputusan persahabatan itu adil untuk anak-anak buahnya walaupun mereka sepatutnya mengatasi kelab yang beraksi dalam Liga-S itu selepas menguasai hampir keseluruhan perlawanan tersebut.

Beliau berkata, kegagalan memanfaatkan beberapa peluang keemasan yang terhidang di depan pintu gol banyak menjadi pengajaran berguna buat para pemain muda negara.

"Inilah akibatnya kalau kita tidak manfaatkan peluang yang diberikan dan kemenangan sudah tentu bukan menjadi milik kita.

"Jelas para pemain masih belum cukup agresif dan tidak memiliki daya pemusnah di depan pintu gol walaupun berjaya mencipta beberapa peluang menarik pada kedua-dua separuh masa," katanya yang ditemui selepas perlawanan tamat.

Malaysia menerusi rangkaian penyerang Zaquan Adha Abdul Radzak dan Ahmad Fakri Saarani patut menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan di depan pintu gol lawan.

Keputusan seri itu jelas merencat rekod cemerlang perlawanan antarabangsa yang berterusan sejak 30 Disember lalu apabila menumpaskan Yemen 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Malaysia yang menguasai babak kedua permainan sewajarnya dapat mendahului Albirex Niigata FC pada minit ke-70, namun cubaan Mohd. Zaquan Adha sipi di pintu gol walaupun penjaga lawan sudah tertewas.

Rajagobal menegaskan, anak buahnya masih memerlukan perlawanan persahabatan antarabangsa kompetitif setiap bulan dalam usaha membentuk skuad yang lebih mantap pada masa akan datang.

Menurut beliau, menerusi perlawanan tersebut, dia dapat melihatkan perkembangan karakter pemain selain memberi pendedahan lebih luas kepada mereka.

Beliau turut yakin anak buahnya mampu menjadi lebih kreatif sekiranya kerap diberi peluang menimba pengalaman bertemu pasukan luar.

"Pemain muda ini memerlukan perlawanan antarabangsa yang lebih kerap sekurang-kurang dua kali setiap bulan bagi meningkatkan keyakinan diri mereka.

"Mereka bertuah hari kerana dapat bertemu kelab yang beraksi dalam Liga-S yang terdiri daripada semua pemain Jepun untuk mempelajari bagaimana pasukan itu bermain agresif dan laju dalam perlawanan itu," katanya.

Mengulas perbezaan perlawanan antara kelab Jepun itu dan Yemen, Rajagobal berpendapat, Albirex Niigata FC merupakan sebuah pasukan yang mantap manakala beraksi menentang Yemen di gelanggang sendiri memberi satu persekitaran berbeza kepada anak buahnya. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5a1dlVTnO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan