MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: 'Drama' membabitkan perpindahan pemain muda negara, Akhyar Rashid terus berpanjangan selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dilihat tetap enggan melepaskan pemain sayap lincah itu kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Meskipun JDT mengesahkan mereka sudah menandatangani pemain berusia 19 tahun itu namun KFA menegaskan Akhyar masih milik skuad Lang Merah.
"Ini kerana setakat ini tiada proses penebusan kontrak oleh pemain dan pelepasan dilakukan menurut peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Sijil Pelepasan Pemain masih di bawah hak mutlak KFA dan status quo pemain itu kekal sehingga 30 November 2019. Sebarang perlanggaran menandatangani dua kontrak pada masa yang sama adalah penghinaan kepada Statut FAM.
"Pihak berkenaan akan menjadi asas aduan tatatertib oleh KFA dan kami sedang dalam proses meneruskan tindakan di Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS)," kata persatuan itu menerusi laman rasmi KFA, hari ini.
Terdahulu, ketika FAM dan KFA masih berbalah mengenai isu perpindahan Akhyar Rashid, juara Liga Super itu mengumumkan mereka sudah mengikat pemain muda itu.
Perkembangan itu diumumkan menerusi akaun rasmi Johor Southern Tigers (JST), hari ini.
Sedikit berbeza berbanding pengumuman pemain baharu skuad Harimau Selatan sebelum ini, pengumuman pemain berusia 19 tahun itu dilakukan menerusi klip video pendek berdurasi 35 saat.
Malah, mereka turut mengumumkan menambah klausa pelepasan bernilai RM12 juta ke atas kontrak Akhyar serta bersedia membayar RM100,000 sebagai yuran pembangunan meskipun mereka hanya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.
Berita berkaitan:• Akhyar sah milik JDT
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 7:33 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan