ARKIB : 15/11/2009
KUALA LUMPUR - Malaysia
menyempitkan peluangnya untuk melayakkan diri ke pusingan akhir bola sepak
Piala Asia 2011 selepas kalah 3-1 kepada Uzbekistan di Tashkent, semalam.
Ini merupakan kekalahan kedua
berturut-turut buat pasukan negara, sekali gus meletakkan kita di tangga
tercorot Kumpulan C di belakang Uzbekistan dan Emeriyah Arab Bersatu (UAE).
Malaysia, yang dibelasah UAE 5-0
dalam perlawanan pertama di Kuala Lumpur, Januari lalu perlu menang apabila
menerima kunjungan Uzbekistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini jika
mahu menghidupkan kembali peluang.
Dalam perlawanan semalam,
jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menyenaraikan sebahagian besar pemain skuad
bawah 23 dan hanya mengekalkan dua pemain senior iaitu ketua pasukan, Norhafiz
Zamani Misbah dan Mohd. Amri Yahyah.
Babak pertama berkesudahan tanpa
jaringan, namun Uzbekistan meningkatkan serangan sebaik separuh masa kedua
bermula untuk mendahului 3-0.
Gol pertama tuan rumah diperoleh
seminit selepas permainan separuh masa disambung menerusi pemain tengah, Server
Djeparov.
Aleksandr Geinrich menjadi wira
tuan rumah dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-57 dan 65 untuk
membolehkan Uzbekistan selesa dengan 3-0 di depan.
Walaupun diasak bertali arus dan
tertekan sepanjang separuh masa kedua, namun skuad negara masih mampu mencuri
satu gol menerusi pemain tengah, Mohd. Safiq Rahim pada minit ke-67.
Bagaimanapun jaringan tersebut
gagal menggelakkan Malaysia daripada mengalami kekalahan kedua, sekali gus
menempah jalan sukar untuk mencari tiket ke Piala Asia 2011 di Qatar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5Yco5Odlt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan