ARKIB : 01/12/2009
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
Skuad bola sepak bawah 23 negara
dan krew TUDM melaungkan kata-kata semangat sebelum berlepas ke Sukan SEA Laos
dengan menaiki pesawat C130H di Lapangan Terbang TUDM, Subang, semalam. Namun
disebabkan masalah teknikal, skuad negara hanya akan berlepas hari ini. -
UTUSAN/Mohd. Farizwan Hasbullah
SUBANG - Penjaga gol baru pasukan
bawah 23 negara, Sharbinee Allawee Ramli bertekad mahu memberi persembahan
lebih 100 peratus jika dia diberi peluang beraksi di Sukan SEA Laos.
Meskipun nama Farizal Marlias
disebut-sebut untuk menggalas tugas sebagai penjaga gol utama negara, Sharbinee
tidak pernah berasa iri hati.
Sebaliknya dia mahu sentiasa
berada dalam keadaan sedia dan yakin mampu mempamerkan persembahan terbaik
sekira khidmatnya diperlukan.
"Saya sebenarnya tidak
menjangka saya akan terpilih untuk ke Laos kerana persaingan di posisi penjaga
gol adalah sangat kuat, terutama daripada Farizal dan Syed Adney (Syed
Hussein).
"Pada minit-minit akhir,
nama saya dipilih, manakala nama Syed Adney diketepikan. Saya bersyukur kerana
dipilih dan diberi kepercayaan oleh jurulatih, K. Rajagobal.
"Ia satu kepuasan kerana
usaha gigih selama ini berbaloi dan berjaya menempatkan diri dalam skuad
negara.
"Saya berharap dapat beraksi
dalam satu atau dua perlawanan di Laos. Jika diberi kepercayaan, saya akan
beraksi lebih daripada 100 peratus," katanya yang ditemui di Pangkalan
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini semalam.
Ditanya mengenai
perlawanan-perlawanan yang bakal dihadapi oleh pasukan negara di Laos, Sharbinee
berkata, permainan dijangka keras dan pemain harus berhati-hati.
Katanya, apa sahaja perkara
mungkin boleh berlaku dan ia memerlukan penumpuan penuh pemain terhadap
permainan.
Jelasnya, pemain-pemain perlu
mengawal emosi dan tingkah laku masing-masing agar rentak permainan berpasukan
tidak terganggu.
Dalam pada itu, jurulatih negara,
Rajagobal berkata, dia pasti orang ramai akan terkejut dengan tindakannya
mengenepikan Syed Adney.
Jelasnya, dia bukan terus
menggugurkan Syed Adney daripada pemilihannya dan menganggap penjaga gol
tersebut tidak bagus, tetapi dia hanya membuat pemilihan berdasarkan prestasi
semasa.
"Dia (Syed Adney) seorang
penjaga gol berpengalaman dan mempunyai susuk tubuh yang baik dan tinggi.
"Namun begitu, saya membuat
pemilihan berdasarkan prestasi semasa dan tidak bersifat pilih kasih. Saya
hanya mahu yang terbaik.
"Farizal dan Sharbinee telah
menunjukkan persembahan yang mengagumkan dan mereka perlu diberi peluang,"
katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YfndvQGI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan