Isnin, 3 Disember 2018

Rajagobal sasar separuh akhir


ARKIB : 24/11/2009
PETALING JAYA - Jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal hanya meletakkan sasaran ke separuh akhir pada Sukan SEA Laos bulan depan.

Menurut Rajagobal, layak ke separuh akhir merupakan sasaran awalnya setelah menilai undian acara bola sepak Sukan SEA yang menyaksikan Malaysia dalam kumpulan sukar bersama negara jaguh bola sepak rantau Asia Tenggara - Thailand dan Vietnam.

''Saya hanya mengetahui bahawa Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) mahukan pingat daripada acara bola sepak menerusi akhbar.

''Selepas undian, kita satu kumpulan dengan pasukan handalan, Thailand dan Vietnam.

''Untuk itu, apa yang dapat saya katakan buat masa ini ialah kita mahu melepasi pusingan kedua atau separuh akhir terlebih dahulu,'' katanya di sini, semalam.

Rajagobal mengulas harapan Sultan Ahmad Shah yang mahukan sebutir pingat Sukan SEA Laos, bulan depan mampu diraih skuad bawah 23 negara sebagai penutup cemerlang musim bola sepak negara, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, kelmarin.

Tambah Rajagobal, kerja kuat dan keazaman tinggi serta kesungguhan pemain akan menjadi penentu kemaraan skuad negara ke separuh akhir.

''Berdasarkan undian, kita berdepan tugas sukar untuk ke separuh akhir. Kita harus memberikan lebih baik berbanding Thailand dan Vietnam,'' katanya.

Jelas Rajagobal, untuk memastikan skuad kebangsaan merealisasikan sasaran awal ke separuh akhir, para pemain harus memberi aksi terbaik pada perlawanan pertama menentang Timor Leste pada 2 Disember ini.

''Perlawanan pertama bakal menjadi penentu sejauh mana kita dapat mara. Saya mahukan tiga mata daripada perlawanan pertama. Kita tiada pilihan.

''Kemenangan pada perlawanan pembukaan inilah yang akan memberi suntikan moral untuk perlawanan seterusnya,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YdIug121
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan